Shafie Apdal Tidak Yakin Usno Boleh Dihidupkan Semula

Diterbitkan: Isnin, 6 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUNAK: Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata beliau tidak yakin Usno dapat dihidupkan semula di Sabah memandangkan semua pemimpin parti itu telah menyertai Umno.

"Saya ingat mereka tidak boleh hidupkan semula Usno sebab Usno telah kita alihkan untuk kita lahirkan Umno. Ini merupakan langkah penyatuan kerana dahulu (Melayu dan bumiputera) berada dalam Berjaya, PBS (Parti Bersatu Sabah) dan Usno," katanya kepada pemberita, di sini, Isnin.

Mohd Shafie mengulas usaha pihak tertentu yang dikatakan cuba menghidupkan semula Usno menjelang pilihan raya umum ke-13.

Usno sebelum pembubarannya diteraju pemimpin veteran Umno seperti Tun Datu Mustapha Datu Harun dan Tun Sakaran Dandai.

Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata sekalipun tindakan itu mungkin mempunyai matlamat yang baik, namun manfaatnya lebih besar jika semua kaum Melayu dan bumiputera bersatu di bawah payung Umno demi keutuhan agama Islam di Sabah.

Terdahulu, ketika merasmikan majlis pecah tanah pembinaan Dewan Serba guna SJK (C) Nyuk Hwa di Semporna bernilai RM3.85 juta atas inisiatif Dewan Perniagaan Cina Semporna, Mohd Shafie berkata kaum Cina merupakan penyokong kuat Barisan Nasional (BN) di daerah itu setiap kali pilihan raya.

Katanya pada pilihan raya lalu, lebih 90 peratus kaum Cina di Semporna menyokong BN dan berharap sokongan itu diteruskan demi kesinambungan usaha bersama bangsa Melayu dan Cina untuk membangunkan Semporna.

Mohd Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah turut memuji langkah pengelola sekolah itu meningkatkan prasarana sekolah yang turut memberi manfaat kepada 60 peratus anak Melayu yang belajar di sekolah tersebut.

Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan bantuan berjumlah RM200,000 untuk pembinaan dewan serba guna sekolah berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Mohd Shafie memohon kepada kerajaan negeri agar turut melantik pegawai daerah berketurunan Bajau di Sabah memandangkan sehingga kini tidak ada seorang pun pegawai daerah dilantik dari keturunan etnik itu. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan