Pasukan Khas SBPA: Kerajaan Setuju Beri Lebih Banyak Tempat Kepada Cuepacs

Diterbitkan: Isnin, 6 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Kerajaan bersetuju untuk memberikan lebih banyak tempat kepada pemimpin tertinggi Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bagi menganggotai pasukan khas semakan semula Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Justeru itu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata CUEPACS perlu manfaatkan sepenuhnya peluang berkenaan bagi merealisasikan hasrat lebih 1.3 juta ahli mereka di seluruh negara.

"Saya harap dan percaya mereka akan terlibat dalam mesyuarat-mesyuarat akan datang dan beri pandangan yang membina untuk penambahbaikan SBPA," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran Pelan Strategik Teknologi Maklumat (PSTM) Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Pahang, di sini, Ahad.

CUEPACS sebelum ini meminta supaya tiga lagi pemimpin kanan mereka menganggotai pasukan petugas khas semakan semula SBPA yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Ismail Adam.

Sementara itu, Mohd Sidek meminta Unit Permodenan Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) memperhebatkan promosi urusan dalam talian di kalangan rakyat.

Katanya kerajaan masih tidak berpuas hati dengan sambutan orang ramai terhadap kempen urusan dalam talian meskipun prasarana telah disediakan membabitkan semua agensi kerajaan.

"Kemudahan-kemudahan ini telah diberikan oleh banyak jabatan tapi mungkin tak mahu menggunakannya atau tak tahu untuk menggunakannya.

"Langkah ini kita kena war-warkan umpamanya memperbaharui lesen memandu secara online kerana ramai yang tak tahu," katanya.

Kerajaan sebelum ini melancarkan PSTM 2011-2015 PBT di bawah Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi bagi menjimatkan kos dan menjadikan platform baru pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Pahang merupakan negeri pertama membangunkan PSTM secara serentak di 11 PBT di negeri itu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan