Dua Beradik Maut Dirempuh Lori Sampah

Diterbitkan: Isnin, 6 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Dua beradik maut apabila motosikal yang dinaiki mereka dirempuh sebuah lori sampah di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran Batu Caves di sini, Isnin.

Pegawai Turus Trafik Selangor DSP Azmi Mansur berkata Rezal Nur Shahiril, 22, dan adiknya Farouk Nur Shahiril, 18, maut di tempat kejadian.

Kejadian berlaku kira-kira 1 petang tadi ketika Rezal dan adiknya itu dalam perjalanan dari rumah mereka di Taman Koperasi Polis ke kolam renang Kompleks Seri Siantan di Selayang.

"Apabila tiba di MRR2, motosikal mereka dirempuh dari belakang oleh sebuah lori sampah yang dipercayai hilang kawalan. Lori sampah itu yang dipercayai mengalami kerosakan brek terlebih dahulu merempuh sebuah lori ais," katanya kepada pemberita, di sini.

Beliau berkata motosikal itu kemudiannya diseret sejauh 25 meter oleh lori sampah tersebut sebelum bertembung dengan sebuah kereta dan bas. Mayat kedua-dua beradik itu dihantar ke Hospital Selayang untuk dibedah siasat.

Pemandu sampah lori itu ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 4 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, abang mangsa, Edinur Shah Hamzah Nasaruddin, 33, ketika ditemui di Hospital Selayang, berkata nalurinya menyatakan ada sesuatu yang tidak kena sebelum keluar bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.

"Saya dalam perjalanan menuju ke tempat kerja, namun saya patah balik kerana berasa tidak sedap hati, dan tiba-tiba saya menerima panggilan bahawa adik saya terlibat dalam kemalangan," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan