Pakatan Pembangkang Tidak Hormat Azizan:Ahmad Bashah

Diterbitkan: Sabtu, 4 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Tindakan pakatan pembangkang mengarahkan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak berhenti mengulas isu penggantungan pelajar Kolej Universiti Insaniah (Kuin) menunjukkan mereka langsung tidak menghormati pemimpin tertinggi negeri ini.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, walaupun berlainan parti, beliau sendiri menghormati keputusan Azizan itu dan menyifatkannya sebagai tindakan tepat untuk mengawal disiplin pelajar institusi itu.

Beliau berkata tindakan beberapa pemimpin PAS dan PKR yang lantang mempertikaikan tindakan Menteri Besar berhubung isu pengantungan lima pelajar Kuin menunjukkan pakatan pembangkang hanya mengutamakan politik sahaja tanpa berusaha memahami tindakan Azizan.

"Sepatutnya kawan-kawan Azizan di dalam pakatan pembangkang perlu hormat keputusan beliau...bila disuruh tutup mulut, ini menunjukkan pakatan pembangkang langsung tidak menghormati dan seolah-olah telah hilang kepercayaan kepadanya.

"Dalam isu Kuin, Azizan telah melakukan apa yang sepatutnya selaku Menteri Besar iaitu menyerahkan kepada Kuin sepenuhnya menangani perkara itu tanpa campur tangan beliau," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelajar Disayangi, Ibu Bapa Didekati di Sekolah Menengah Kebangsaan Convent di sini, Sabtu.

Ahmad Bashah mengulas mengenai perintah yang dikeluarkan oleh PAS kepada Azizan agar tidak lagi memberikan komen berhubung isu penggantungan pelajar Kuin itu.

Sebelum ini, Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad dan bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr Abdul Aziz Bari meminta supaya pakatan pembangkang mengambil tindakan terhadap Azizan kerana tindakan terhadap pelajar itu bercanggah dengan kandungan Buku Jingga.

Ahmad Bashah berkata dalam perspektif yang lebih luas beliau melihat isu Kuin sengaja diperbesarkan bertujuan untuk menyingkirkan Azizan daripada kedudukan beliau sebagai Menteri Besar Kedah. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan