UPM Sasar Jana Pendapatan RM268 Juta Pada 2012

Diterbitkan: Jumaat, 3 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Oleh IZRA ABD RAHMANSERDANG: Universiti Putra Malaysia (UPM) menyasarkan penjanaan pendapatan sebanyak RM268 juta pada 2012 berdasarkan prestasi memberangsangkan sepanjang 2011.

Sasaran itu juga dibuat selaras kuasa autonomi yang diberikan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kepada beberapa universiti termasuk UPM dalam usaha mengurus prestasi tinggi dan menjadi institusi berinovasi.

Naib Canselor UPM, Datuk Ir. Dr Radin Umar Radin Sohadi berkata, UPM mengambil peluang dan menyahut cabaran tersebut dengan memberi tumpuan kepada penjimatan dan penjanaan pendapatan yang mampu membawa kebaikan untuk generasi masa hadapan.

"Pemberian autonomi bermakna kurang kebergantungan pada peruntukan kerajaan.

"Dengan adanya status autonomi, peratusan geran kerajaan akan dikurangkan secara berperingkat," katanya pada sidang media yang diadakan selepas membaca Perutusan Naib Canselor UPM 2012 yang diadakan di Dewan Besar Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, dekat sini, Jumaat.

Radin Umar berkata pada masa kini lebih kurang 70 peratus daripada belanja mengurus UPM adalah daripada geran kerajaan.

"Jika kita tidak dapat menjana pendapatan maka kita tidak mampu untuk membiayai kos pengurusan.

"Jika peruntukan tidak dibelanjakan secara berhemat, pembaziran akan berlaku dan kesannya banyak aktiviti dan rancangan akan tergendala," katanya.

Menurut beliau, berdasarkan pencapaian memberangsangkan institusi itu pada tahun lepas yang secara keseluruhannya mencapai 92.74 peratus sasaran, UPM yakin mampu menyahut cabaran sebagai universiti berautonomi penuh.

"Berdasarkan pencapaian tersebut saya berpendapat Indeks Prestasi Utama (KPI) kita boleh ditingkatkan lagi ke aras yang lebih tinggi dan mencabar. Cabaran amat penting kerana ia dapat meningkatkan motivasi dan kekuatan untuk mengatasinya," katanya.

Katanya, pada 2011, sektor pengurusan kewangan pusat pengajian awam itu berjaya memperoleh sebanyak RM42.3 juta dari sudut penjanaan pendapatan berbanding RM37.3 juta pada 2010.

"Jumlah ini adalah melebihi amaun RM40 juta yang disasarkan untuk 2011," ujarnya.

Tambahnya, kejayaan yang sama turut dapat dilihat dari sudut penjanaan pendapatan daripada Alumni.

Katanya, pada 2011 sebanyak RM5.97 juta telah diterima daripada Alumni berbanding RM800 ribu pada 2010.

"Selama ini kita kurang menumpukan perhatian kepada Alumni UPM dan Universiti Pertanian Malaysia. Tumpuan terdahulu lebih kepada Alumni Kolej Pertanian Malaya sedangkan jumlah Alumni UPM dan Universiti Pertanian Malaysia jauh lebih tinggi, meskipun rata-rata mereka dalam kalangan jauh lebih muda tetapi ramai yang mencapai kejayaan cemerlang dalam kerjaya," ulas beliau.

Dalam pada itu, beliau menambah, sumbangan daripada jaringan industri dan masyarakat turut meningkat pada tahun 2011.

"Mereka telah menyahut cabaran saya dan berjaya menjana sebanyak RM26.5 juta berbanding RM14.01 juta pada 2010," katanya.

Walau bagaimanapun, beliau berkata daripada segi penjanaan pendapatan melalui penyelidikan, jumlah pencapaian masih tersasar daripada sasaran iaitu RM100 juta.

"Walaupun terdapat lonjakan pencapaian kepada RM73.4 juta berbanding RM47.6 juta pada 2010, jumlah pencapaian masih tersasar.

"Mungkin sasaran yang diletakkan terlalu tinggi dan perkara ini perlu diteliti semula," jelasnya.

Antara yang dirancang termasuklah membida Institut Pertanian Tropika, Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan, Institut Penyelidikan Produk Halal dan Institut Penyelidikan Matematik untuk memohon status Higher Institutions' Centres of Excellence (HICoE).

Dalam masa yang sama, beliau mengakui tidak mudah memegang status autonomi yang menuntut UPM berdepan pelbagai cabaran, terutama dari segi penjanaan pendapatan.

Justeru katanya, mulai tahun ini institusi itu akan memberi tumpuan khusus kepada keperluan strategik guna tanah UPM selaras dengan keputusan Lembaga Pengarah Universiti, dengan cara menghalusi dan menjawab beberapa persoalan strategik.

"Berapa keluasan tanah yang sebenarnya kita perlukan untuk pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan? Adakah lebih baik jika kita memperoleh aset yang lebih jauh dari UPM untuk tujuan pertanian?," katanya.

Januari lalu, empat lagi universiti tempatan diberi kuasa autonomi oleh KPT selepas kuasa itu diberikan kepada Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Empat universiti tersebut ialah Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia dan UPM yang mana kuasa autonomi diberi dalam bidang urus tadbir, kewangan, sumber manusia dan pengurusan akademik serta pengambilan pelajar.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan