MCA Tidak Halang Ahli Hadiri Majlis Perkasa - Chua

Diterbitkan: Jumaat, 3 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: MCA tidak akan menghalang ahli-ahlinya daripada menghadiri majlis-majlis yang dianjurkan oleh Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) pada masa akan datang, kata presiden parti, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Beliau berkata, terdapat beberapa pemimpin pembangkang yang mahu mengaitkan MCA dengan kumpulan yang memperjuangkan hak Melayu itu tetapi parti tidak akan mengeluarkan sebarang arahan yang melarang ahli-ahlinya daripada menghadiri majlis-majlis Perkasa pada masa akan datang.

“Kita tidak berbuat perkara seperti itu (larangan), tidak seperti segelintir pihak yang mendakwa mengamalkan demokrasi tetapi menghalang media tertentu daripada membuat liputan aktiviti-aktiviti mereka,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyampaian cek kepada Sukarelawan Belia Malaysia (MyCorps) di sini, Jumaat.

Dr Chua berkata demikian berhubung rumah terbuka Tahun Baru Cina yang dianjurkan oleh Perkasa pada Ahad lalu di mana presiden pertubuhan itu, Datuk Ibrahim Ali menyampaikan angpau warna putih kepada hadirin – warna itu dilihat untuk kegunaan dalam majlis pengebumian bagi masyarakar Cina.

Pengerusi MCA cawangan Sri Desa, Collin Tiew yang menterjemahkan ucapan Ibrahim pada majlis itu meletakkan jawatan daripada semua jawatan dalam parti berikutan kejadian tersebut.

“Saya mengucapkan terima kasih kepadanya (Tiew) kerana beliau bertindak dengan penuh bertanggungjawab. Ketika itu dia tidak mewakili MCA apabila beliau menghadiri acara tersebut,” kata Dr Chua.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan