Isu Kuin : MB Kedah Diarah Tutup Mulut Bukti Pembangkang Cabul Hak

Diterbitkan: Jumaat, 3 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin membidas campur tangan politik pembangkang dalam urusan pentadbiran institusi pengajian tinggi (IPT) khususnya membabitkan isu penggantungan lima mahasiswa Kolej Universiti Insaniah (Kuin), Alor Setar, baru-baru ini.

Tegas beliau, perkembangan terbaru apabila Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak diarahkan supaya menutup mulut daripada memberi komen mengenai Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) jelas menunjukkan pembangkang mengamalkan pencabulan hak asasi.

"Arahan tutup mulut terhadap Datuk Seri Azizan dalam isu Kuin jelas (menunjukkan) pencabulan hak asasi dan kebebasan bersuara yang di lalak oleh pembangkang.

"Isu Kuin jelas membuktikan campur tangan politik secara langsung oleh pembangkang dalam urusan IPTA dan IPTS," kata beliau menerusi akaun twitternya di sini, Jumaat.

Zulkifli mengulas mengenai pengakuan Azizan seperti yang dilaporkan media Jumaat, bahawa beliau tidak boleh mengeluarkan kenyataan berhubung Auku selepas mendapat arahan daripada pihak atasan.

Bagaimanapun Azizan tidak mendedahkan mengenai pihak yang mengeluarkan arahan tersebut.

Namun difahamkan arahan berkenaan diterima daripada kepimpinan PAS.

Arahan menutup mulut itu diterima selepas Azizan membidas pihak yang mengkritik dan menyerangnya berhubung tindakan penggantungan lima pelajar Kuin, yang didakwa dilakukan mengikut Auku.

Azizan mendakwa pihak yang menyerangnya itu tidak mendapat maklumat betul kerana tindakan diambil Kuin itu bukan mengikut Auku, sebaliknya mengikut Akta IPTS 1996 kerana universiti milik kerajaan negeri itu dikategorikan sebagai IPTS oleh Kementerian Pengajian Tinggi.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan