Gerakan Hasan Ali Beri Kesan Positf Kepada Perpaduan Melayu

Diterbitkan: Jumaat, 3 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TANJUNG KARANG: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar berkata, tindakan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Mohamed Ali mencetuskan gerakan mempertahankan Islam, hak orang Melayu dan institusi raja memberikan kesan positif kepada perpaduan orang Melayu.

Perjuangan Dr Hasan seolah-olah sealiran dengan perjuangan UMNO yang sejak dahulu memperjuangkan tiga perkara itu, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Burong di sini, Jumaat.

Bagaimanapun, beliau berkata, selain daripada mempertahankan hak orang Melayu, UMNO juga melindungi hak-hak kaum lain yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.

Beliau berkata, siri jelajah Dr Hasan mengenai isu akidah, setelah beliau dipecat dari PAS, berjaya menarik segenap lapisan masyarakat terutamanya orang Melayu untuk mendengar penjelasan bekas Exco kerajaan negeri Selangor itu mengenai kelemahan dan kepincangan pemerintahan kerajaan pakatan pembangkang.

Mengenai kenyataan sesetengah pemimpin PAS yang mendakwa Dr Hasan adalah budak suruhan UMNO, Noh berkata:"Mereka (pembangkang) tidak akan terima kesalahan mereka tetapi sering menuding jari kepada UMNO."

Noh berkata, bukan Dr Hasan sahaja yang membuat siri ceramah menerangkan tembelang sebenar parti pembangkang malah bekas anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga Anggota Parlimen Kulim Bandar Baru Datuk Zulkifli Nordin turut berbuat demikian untuk memberi kesedaran kepada rakyat. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan