Kenyataan Anwar Memalukan - Anifah

Diterbitkan: Isnin, 30 Januari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merakamkan sepenuh sokongan kepada semua tindakan bagi menjaga keselamatan Israel adalah satu kenyataan yang menyedihkan dan memalukan serta patut dikesali dan dikecam, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Beliau berkata kenyataan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu secara langsung jelas menunjukkan penerimaan dan sokongan Anwar terhadap segala tindakan yang dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin selama ini.

Tindakan yang ditakrifkan Israel sebagai perlu bagi menjaga keselamatan negaranya termasuklah serangan ketenteraan besar-besaran ke atas Gaza yang mengorbankan beribu-ribu nyawa rakyat Palestin yang tidak berdosa termasuk kanak-kanak, penangkapan dan pemenjaraan rakyat Palestin sewenang-wenangnya, pembunuhan rakyat Palestin terutama para pemimpin melalui serangan bom dan peluru berpandu, pembinaan tembok haram yang merentas dan merampas kawasan kediaman orang Palestin.

Pengusiran rakyat Palestin dari kawasan kediaman mereka, pembinaan penempatan haram Israel di kawasan rakyat Palestin, sungguhpun dikecam oleh masyarakat antarabangsa serta pelbagai lagi pelaksanaan dasar yang menindas dan menganiayai rakyat Palestin, katanya.

"Saya ingin menegaskan kerajaan Malaysia tidak pernah menyokong tindakan Israel seperti dijelaskan, malah telah bersama-sama masyarakat antarabangsa mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tersebut yang jelas melanggari perundangan antarabangsa," kata Anifah dalam kenyataan di sini, Ahad.

Ketika ditemuramah akhbar Wall Street Journal baru-baru ini, Anwar secara terbuka menyatakan ia akan mempertahankan keselamatan Israel.

Anifah berkata kerajaan Malaysia berpendirian bahawa penyelesaian terbaik kepada konflik Palestin-Israel hanya boleh dicapai melalui perundingan bagi memastikan keamanan, keselamatan dan kestabilan serantau yang berkekalan.

"Malaysia menggesa supaya semua pihak berusaha mencari satu penyelesaian komprehensif yang adil dan saksama berdasarkan pelan damai dan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang berkaitan di mana kedua-dua buah negara dapat hidup bersebelahan dengan satu sama lain dalam keadaan aman dan selamat," katanya.

Katanya adalah jelas kenyataan yang dibuat Anwar itu adalah semata-mata untuk meraih kembali sokongan masyarakat Yahudi dan penyokong Israel kepada beliau dalam usaha mendapatkan sokongan antarabangsa bagi menghadapi pilihan raya.

"Seperti yang kita ketahui, kenyataan Anwar di Dewan Rakyat pada Mac 2010 yang menuduh konsep 1Malaysia ditiru daripada konsep regim Zionis Israel telah membawa kecaman daripada pemimpin-pemimpin Yahudi.

"Dengan kenyataan yang dibuat oleh Anwar di Wall Street Journal itu, jelas sekarang di mana letaknya prinsip dan pendirian beliau berhubung isu Palestin dan saya yakin rakyat akan dapat membuat penilaian mereka sendiri," katanya.

Beliau berkata kenyataan Anwar yang disiarkan dalam Wall Street Journal itu juga jelas, kecuali jika beliau ingin mendakwa akhbar tersebut telah melakukan kesilapan. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan