Ahli Umno Diingat Jangan Melobi Pecah Belah Parti

Diterbitkan: Isnin, 30 Januari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BACHOK: Badan Perhubungan Umno Kelantan memberi amaran mana-mana anggota Umno yang melobi untuk menjadi calon pilihan raya di Kelantan sehingga memecah belahkan parti boleh diambil tindakan Jawatankuasa Disiplin Parti yang digerakkan.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata mereka yang sedang rancak melobi di peringkat cawangan mestilah berhati-hati jangan sampai merosakkan perpaduan sesama sendiri.

"Fitnah-memfitnah dan sangka buruk menjelang pilihan raya umum ke-13, mesti dielakkan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi DUN Perupuk di sini, Ahad.

Awang Adek mengulas pengumuman Perdana Menteri dan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak yang antara lain berkata Jawatankuasa Disiplin parti akan digerakkan awal bagi memantau dan bertindak terhadap anggota parti yang melakukan perbuatan khianat terhadap parti.

Awang Adek yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata penubuhan jawatankuasa berkenaan yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin tepat pada masanya bagi mengekang perbuatan anggota melakukan kegiatan yang melampau batas.

Beliau berkata tujuannya bagi menjamin usaha Barisan Nasional merampas tampuk pemerintahan negeri Kelantan daripada parti pembangkang pada pilihan raya umum kelak.

Awang Adek berkata sebelum ini tindakan disiplin terhadap anggota yang mengkhianat parti selepas pilihan raya tidak banyak memberi kesan.

"Tindakan kali ini cukup baik lain dari biasa dan ia memberi mesej jelas berbentuk amaran kepada semua anggota supaya tidak khianat kepada parti seperti bercakap bohong, melaga-lagakan sesama sendiri dan menabur fitnah, yang boleh diambil tindakan segera tak payah tunggu pilihan raya," katanya.

Katanya, mereka (yang bertindak demikian) boleh hilang kelayakan untuk bertanding dalam parti seperti jawatan ketua, timbalan ketua dan ketua cawangan.

Awang Adek berkata mana-mana anggota biasa membuat kerja yang tidak berfaedah seperti mensabotaj parti dan menentang calon hendaklah memberhentikan segera perbuatan mereka itu.

Bagaimanapun beliau berkata mereka yang berbuat baik seperti membantu meringan beban golongan miskin dialu-alukan kerana ini boleh menguatkan parti. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan