Produk Tradisional Tidak Berdaftar Undang Risiko

Diterbitkan: Ahad, 29 Januari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Produk tradisional yang dijual di kedai runcit atau pasar malam tidak perlu dipandang remeh kerana ia membahayakan kesihatan.

Kebanyakan ubat-ubatan tersebut seperti ubat peransang seks, makanan tambahan mahupun barangan kosmetik merupakan produk tidak berdaftar.

Menurut Pengarah Penguatkuasa Farmasi Kementerian Kesihatan, Mohd Hatta Ahmad, Bahagian Penguatkuasa Farmasi merampas 33,274 produk (ubat-ubatan) tidak berdaftar bernilai RM22.5 juta dalam serbuan tahun lalu.

Berlaku peningkatan ketara pada 2010 apabila pegawai penguatkuasa merampas 24,852 produk bernilai RM21.5 juta berbanding 19,764 produk mencecah RM10.4 juta pada 2009.

"Pembeli mungkin tidak menyedari risiko produk tersebut kerana ia mudah didapati dan murah. Malah produk itu dijual dengan bungkusan menarik," katanya.

Hatta berkata, kebanyakan ubat-ubatan tidak berdaftar dijual di pasar malam, kedai runcit dan di sepanjang kaki lima.

Dengan erti kata lain, produk tersebut dijual secara terbuka dan sejumlah besar ubat-ubatan tidak berdaftar itu dirampas dalam rumah seorang pengedar.

Katanya, produk tersebut yang dikenali sebagai ubat-ubatan tradisional sering digunakan untuk merawat dan melegakan batuk, demam dan sakit kepala.

"Beberapa produk didakwa mujarab untuk sakit sendi. Apabila kami mengkaji produk tersebut di dalam makmal, kami dapati ia mengandungi steroid," katanya.

Segelintir produk tersebut mengandungi logam yang boleh merosakkan buah pinggang.

Hatta berkata, barangan kosmetik mungkin mengandungi bahan kimia terlarang seperti hidrokuinon, merkuri yang memberi kesan sampingan kepada kulit.

Ubat peransang seks palsu merupakan produk makanan tambahan yang diperkaya dengan bahan-bahan aktif seperti tadanafil, sildenafil dan verdenafil yang boleh menyebabkan mati pucuk.

Beliau berkata, produk tersebut boleh menjejaskan kesihatan pengguna jika diambil tanpa nasihat pakar.

"Produk tersebut masih berada di pasaran kerana permintaan yang tinggi daripada pengguna. Jika tiada pembeli, penjualan produk tersebut pastinya terhenti," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, Datuk Eisah A. Rahman berkata, produk yang tidak berdaftar tidak selamat untuk diambil kerana kualiti, keselamatan dan keberkesanannya diragui.

"Apabila kami melakukan ujian pra-kelulusan, kira-kira 10 peratus produk tersebut mengandungi bahan tercemar," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan