Jangan Putar Belit Kenyataan:Anwar

Diterbitkan: Ahad, 29 Januari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran keras kepada mana-mana pihak supaya tidak memutarbelitkan kenyataan kononnya beliau mengkhianati aspirasi rakyat Palestin.

Dalam satu kenyataan ringkas di blognya pada Sabtu, Anwar menegaskan temu bual bersama Wall Street Journal pada Khamis lalu banyak membincangkan perkara berkaitan dasar luar negara dan isu Palestin.

"Saya tuntas menegaskan bahawa kemahuan dan hak rakyat Palestin mesti dibela dan itu merangkumi hak untuk mendirikan negara sendiri serta tidak terus dizalimi.

"Saya juga mengungkapkan bahawa jika syarat ini dipenuhi maka wajarlah hak rakyat Israel juga dihormati," katanya.

Pada Sabtu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta Anwar tampil memberi penjelasan tentang komitmennya untuk mempertahankan Israel ketika ditemuramah oleh Wall Street Journal.

Muhyiddin bertanyakan sama ada kenyataan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bermakna beliau (Anwar) mementingkan Israel dan menidakkan hak rakyat Palestin yang ditindas oleh rejim Yahudi itu.

"Adakah dia (Anwar) lebih mengutamakan Yahudi dan Israel daripada Palestin? Adakah ini pendirian sebenar Pakatan Rakyat, sedangkan kerajaan tidak mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel," katanya.

Jelas Anwar, pendirian beliau sejajar dengan prinsip perjuangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menjunjung tinggi prinsip keadilan sejagat dan tegas membela nasib mereka yang dizalimi.

"Selain itu pandangan saya ini ternyata selari dengan Resolusi 1397 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Inisiatif Keamanan Arab (Arab Peace Initiative) yang berteraskan Penyelesaian Dua Negara," katanya.

Beliau berkata, dasar luar negara juga menekankan prinsip Penyelesaian Dua Negara sebagaimana yang diungkapkan Menteri Luar,Datuk Seri Anifah Aman ketika Perbahasan Perhimpunan Agung PBB Sesi ke-66 padar September tahun lalu, di New York.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan