Pemberian Angpau Dibuat Setiap Tahun, Bukan Bermotif Pancing Undi: Adnan

Diterbitkan: Jumaat, 27 Januari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

RAUB: Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berkata pemberian angpau kepada masyarakat Cina bukan bermotifkan politik untuk memancing undi pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

Sebaliknya, Menteri Besar berkata pemberian angpau dibuat setiap tahun kepada golongan yang memerlukan.

"Wang tersebut adalah lebihan peruntukan perbelanjaan kerajaan negeri yang diperolehi daripada pelbagai hasil di negeri ini.

"Pemberian angpau tidak ada kaitan dengan pilihan raya, malah kerajaan negeri memberinya pada setiap Tahun Baru Cina," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian angpau kepada lebih 1,000 masyarakat Cina di Kawasan Dewan Undangan negeri Teras, dekat sini, Jumaat.

Adnan berkata perihal memilih semasa pengundian adalah hak individu dan ia tidak perlu dikaitkan dengan pemberian angpau.

"Siapa hendak pilih terpulang kepada individu, kerajaan tidak boleh paksa untuk mengundi parti mana," katanya.

Bagaimanapun, Adnan berkata sudah tentulah kerajaan Barisan Nasional terus mengharapkan sokongan masyarakat Cina bagi membolehkan kerajaan terus memimpin dalam usaha meneruskan agenda pembangunan negara.- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan