Kerajaan Pantau Aktiviti Kelab Taat Suami

Diterbitkan: Jumaat, 27 Januari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BAHARU: Kerajaan akan memantau secara berterusan pengisian program Kelab Taat Suami (KTS) bagi memastikan pertubuhan itu tidak menyebarkan ajaran yang bertentangan dengan agama Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata langkah itu perlu sebelum pihak berkuasa boleh mengambil tindakan tegas terhadap kumpulan tersebut.

"Mereka bergerak atas nama macam-macam. Kita tak boleh bertindak sebarangan melainkan ada bukti yang lebih jelas dan nyata," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan watikah pelantikan guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa), di sini, Jumaat.

Pihak berkuasa baru-baru ini menyerbu satu program KTS yang dikatakan bermatlamat menangani gejala seks dalam masyarakat dengan mengaitkan nama Rasulullah secara langsung dengan isu seks.

Mengulas lanjut, Jamil Khir berkata pergerakan kumpulan itu yang berselindung di sebalik badan bukan kerajaan turut menyukarkan pihak berkuasa mengesan aktiviti mereka yang dilihat merendahkan martabat umat Islam.

Mengenai cadangan pengambilan imam sebagai jawatan tetap, Jamil Khir berkata perkara tersebut dalam pertimbangan kerajaan ke arah penambahbaikan dan meningkatkan kualiti imam di seluruh negara.

Beliau tidak menolak kemungkinan cadangan itu menjadi kenyataan memandangkan kebanyakan imam kini mempunyai pendidikan tinggi hingga ke peringkat universiti dan wajar diberi tempat yang sama sebagaimana penjawat awam yang lain.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan