Kerajaan Kekalkan Harga Gula RM2.30 Sekg

Diterbitkan: Jumaat, 27 Januari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah memutuskan untuk mengekalkan harga gula pada harga RM2.30 sekg walau pun harga semasa pasaran dunia telah meningkat, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sehubungan itu, Ismail Sabri berkata subsidi gula meningkat kepada 54 sen daripada 20 sen sebelumnya dan jumlah subsidi meningkat kepada RM567 juta tahun ini daripada RM262.41 juta tahun lepas.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis pelancaran Pekeliling Amalan Terbaik Perniagaan Terbaik Suruhanjaya Syarikat Malaysia 3/2012 hari ini, katanya langkah itu dilakukan bagi memastikan paras harga kekal pada tahap semasa.

"Kalau harga gula dinaikkan, banyak lagi harga produk lain akan dinaikkan."

"Jadi inisiatif kerajaan untuk mengurangkan bebanan rakyat dengan mewujudkan Kedai Rakyat 1Malaysia dan Menu Rakyat 1Malaysia mungkin akan mendapat kesan daripada kenaikan ini."

"Oleh yang demikian, harga gula dikekalkan supaya rakyat tidak akan terasa sebarang kenaikan," katanya.

Beliau menjelaskan bahawa Malaysia kini terpaksa mengimport hampir 100 peratus keperluan gulanya berbanding dengan 98 peratus sebelum ini kerana tanah yang dahulunya digunakan untuk menanam tebu di Chuping Perlis, sekarang ditanam dengan kelapa sawit dan getah.- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan