SIK: Tan Sri Isa Abdul Samad meminta masyarakat Felda menilai kesenangan yang mereka nikmati ketika ini berikutan hasil usaha kerajaan selepas dipilih sebagai peneroka.
Pengerusi Felda itu berkata demikian ketika meminta peneroka Felda yang menyokong pembangkang berfikir secara matang mengenai tindakan mereka menentang kerajaan.
Beliau juga meminta peneroka berkenaan menunjukkan sumbangan pembangkang
kepada mereka selama ini, dan penyokong pembangkang yang berhasrat untuk keluar
dari Felda tidak akan dihalang.
Katanya, tidak ada kerajaan di negara lain yang mewujudkan "penempatan
mewah" seperti dilakukan kerajaan Perikatan sewaktu pemerintahan Perdana Menteri
kedua Tun Razak Hussain, yang melahirkan Felda, dan kini diberi nafas baru oleh
Barisan Nasional (BN) pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Hingga sekarang, Felda menjadi satu kebanggaan rakyat yang bersyukur serta
pihak luar yang kagum dengan kemampuan kerajaan mewujudkan Felda dengan begitu
mewah dalam segala bentuk serta melahirkan ramai anak Felda yang berpendidikan
tinggi serta tokoh korporat berjaya," katanya pada majlis perjumpaan dengan
masyarakat Felda di Teloi Timur di sini.
Bercakap kepada media selepas itu, Isa berkata pembangkang, terutama PAS,
hanya akan menggunakan isu Felda menjelang pilihan raya umum.
"Kalau tak ada pilihan raya umum, mereka tak sentuhpun masalah Felda, malah
jauh sekali untuk membantu penyokong mereka yang ada dalam Felda," katanya.
Pada majlis itu, beliau menyampaikan bantuan dua kerusi roda kepada penduduk
Felda berkenaan selain serta bahan makanan kepada warga emas.
Beliau turut menerima 200 borang permohonan dari bekas anggota dan penyokong
PAS untuk menyertai Umno daripada bekas Setiausaha PAS Teloi Timur, Roshdi
Sobri, 35.-BERNAMA