Felda Sedia Strategi Raih Pendapatan RM1.5 Bilion

Diterbitkan: Jumaat, 27 Januari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Felda telah mengariskan strategi untuk meraih pendapatan RM1.5 bilion setahun setelah anak syarikatnya Felda Global Ventures Holdings (FGVH) disenaraikan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan.

Sambil menolak dakwaan sesetengah pihak kononnya Felda akan mengalami defisit pendapatan apabila FGVH diapungkan, Ahmad menegaskan bahawa ia tidak akan berlaku sebaliknya Felda akan tetap meraih pendapatan melalui pelaksanaan strategi yang dirangka.

"Sebelum penyenaraian, kita telah teliti strategi mekanisme untuk pastikan Felda akan dapat pendapatan," katanya dalam sidang media sebelum menghadiri program Wacana Minda Angkatan Prihatin Terengganu, di sini, Khamis.

Ahmad berkata antara kaedah yang dipertimbangkan untuk mendapatkan pendapatan RM1.5 bilion itu ialah melalui pajakan tanah kepada FGVH, yang boleh disifatkan keuntungan bersama kepada Felda dan FGVH.

"Selain itu Felda akan mendapat keuntungan cukup besar dari segi hasil pengapungan (di Bursa Malaysia), faedah itu jika dilaburkan setiap tahun akan mendapat hasil hampir setengah bilion ringgit kepada Felda," katanya.

Pakar ekonomi Persatuan Anak Felda Kebangsaan (ANAK) Dr Rosli Yaacop baru-baru ini mendakwa Felda akan mengalami defisit pendapatan antara RM1.2 bilion hingga RM1.5 bilion apabila lembaga itu menyenaraikan FGVH ke Bursa Malaysia.

Menyifatkan tuduhan tersebut dibuat oleh mereka yang tidak mendapat maklumat secukupnya mengenai pengapungan FGVH, Ahmad berkata sebaiknya sebelum sebarang tuduhan dibuat pihak berkenaan boleh mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak berkenaan.

"Mereka sengaja menimbulkan perasaan kurang senang kepada peneroka terhadap penyenaraian ini.

"Saya ingin menyatakan sebelum penyenarainan dibuat segala keperluan Felda perlu dipenuhi, segala keperluan peneroka Felda yang selama ini kita penuhi akan diteruskan serta segala tanah peneroka, tapak rumah tidak akan disentuh langsung...itu adalah syarat penting sebelum penyenaraian dibuat," katanya.

Menurutnya lagi peneroka juga tidak akan rugi dan tanah mereka juga tidak hilang melalui penyenaraian itu kerana tanah mereka hanya dipajak.

Mengulas dakwaan tanah-tanah Felda di negeri dibawah pembangkang kerajaan negeri tidak akan diluluskan untuk pajakan, beliau berkata jika mereka tidak meluluskan pajakan 99 tahun itu tanah itu masih milik Felda dan segala hasil daripada tanah-tanah ladang di negeri tersebut hasilnya akan kembali kepada Felda.

"Kerajaan negeri tidak boleh mengambil hasil daripada tanah tersebut, dan kalau kerajaan negeri mengambil hasil daripada tanah tersebut kita akan bawa perkara tersebut ke mahkamah," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan