Bekas Presiden Presma Buat Laporan Polis Ke Atas Presiden Sekarang

Diterbitkan: Jumaat, 27 Januari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bekas presiden Persatuan Restoran-Restoran Muslim Malaysia (Presma) Datuk Jamarulkhan Kadir telah membuat laporan polis ke atas presiden sekarang, Noorul Hassan Saulhameed kerana mengesyaki berlakunya salah urus dana berjumlah RM6 juta.

Jamarulkhan, mendakwa beliau telah didatangi oleh 60 orang pemilik yang memiliki 300 restoran mamak di seluruh negara mengadu kepadanya berkaitan perkara itu.

Beliau telah membuat aduan di Balai Polis Dang Wangi pada jam 11.12 pagi Jumaat.

Antara lain, beliau berkata, pemilik-pemilik restoran ini datang mengadu kepadanya bahawa mereka telah dicaj sehingga RM1,000 untuk setiap seorang pekerja asing yang dibawa masuk ke negara ini untuk bekerja di restoran-restoran mereka melalui Dewan Perniagaan dan Perdagangan India Malaysia (MAICCI).

“Berdasarkan aduan ini, saya telah melakukan siasatan dan mendapati terdapat kebenaran mengenainya,” katanya dalam satu sidang akhbar di Restoran Syed, Jalan Dang Wangi di sini.

Beliau juga mendakwa mempunyai bukti yang menunjukkan empat keping cek berjumlah RM85,500 yang dikeluarkan oleh ahli Presma untuk persatuan itu bagi tujuan bayaran pekerja asing ini telah dibankan ke akaun peribadi dan bukannya akaun Presma.

Mereka juga dapati, resit bayaran yang dikeluarkan bukanlah resit rasmi Presma.

Beliau turut menunjukkan kepada pemberita rupa resit rasmi Presma yang berbeza dengan resit palsu.

Menurut Jamarulkhan, ahli-ahli Presma tidak sepatutnya dikenakan sebarang caj atau mungkin jika hendak dicaj sekali pun untuk bayaran proses pada kadar yang minima sahaja kerana MAICCI telah pun diberi kebenaran untuk membawa masuk 15,000 pekerja asing ke negara ini.

Beliau juga menggesa presiden Presma sekarang agar segera melepaskan jawatannya sekarang demi menjaga nama baik persatuan itu.

Ekoran daripada kejadian ini, beliau mendakwa lapan daripada 14 ahli jawatankuasa Presma telah meletak jawatan serentak baru-baru ini.

Sementara itu, Noorul Hassan ketika dihubungi berkata, dia belum lagi berpeluang untuk melihat salinan laporan polis itu dan akan menyerahkan kepada peguamnya untuk menentukan tindakan dan langkah selanjutnya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan