KD Mahawangsa Terus Digelar Terbaik Di Kalangan Terbaik

Diterbitkan: Khamis, 26 Januari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Kapal KD Mahawangsa milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mencatat sejarah tersendiri sebagai kapal pertama di negara ini yang dianugerahkan persijilan ‘5 S’ oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).
Kapal KD Mahawangsa milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mencatat sejarah tersendiri sebagai kapal pertama di negara ini yang dianugerahkan persijilan ‘5 S’ oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Oleh IWAN SHU-ASWAD SHUAIB PETALING JAYA: Kapal KD Mahawangsa milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terus kekal sebagai yang terbaik di kalangan terbaik apabila dianugerahkan pensijilan ‘5 S’ oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Penganugerahan tersebut mencatat sejarah tersendiri apabila KD Mahawangsa menjadi kapal pertama di negara ini yang dianugerahkan pensijilan itu.

Kapal yang mampu bergerak dengan kelajuan 16.5 knot dilengkapi dengan persenjataan berat, radar dan keupayaan kargo dalam jumlah yang besar itu sebelum ini diiktiraf sebagai ‘The Best Damn Ship in The Navy’.

Pegawai Memerintah KD Mahawangsa TLDM, Kepten Jamel Abdul Rahman berkata, kapal yang berusia hampir 30 tahun itu kini lebih baik menerusi pelbagai perubahan dan penambahbaikan.

“Semuanya menumpukan tentang keberkesanan dan kecekapan operasi KD Mahawangsa dengan mengutamakan aspek keselamatan.

“Ia diperkukuhkan lagi menerusi kerja sepasukan yang penuh komited dan moral anggota yang tinggi,” katanya ketika dihubungi mStar Online, Khamis.

Pensijilan berkenaan disampaikan oleh Ketua Pengarah MPC, Mohd Razali Hussain kepada Jamel Abdul Rahman di atas kapal KD Mahawangsa di Pangkalan TLDM di Lumut pada Khamis.

Pensijilan ‘5 S’ merupakan sistem amalan persekitaran berkualiti iaitu sisih, susun, sapu, seragam dan sentiasa amal.

Jamel berkata, pensijilan tersebut turut mempunyai kaitan dengan pengurusan yang lebih efektif dan efisien.

“Sebagai contoh, kami kini mempunyai sistem tersendiri di mana sebarang pengurusan dan pencarian bagi kelengkapan, alat ganti dan dokumen boleh dilakukan dalam masa singkat.

“Kami menetapkan masa 20 saat bagi setiap proses kerja itu malah boleh dilakukan sepantas 15 saat. Ia adalah penanda aras bagi tahap kecekapan kami.

“Amalan ini akan terus dimantapkan lagi bagi memperlihatkan KD Mahawangsa melaksanakan amalan kerja yang berkualiti tinggi dan profesional,” katanya.

Beliau menambah, sistem berkenaan dapat menjimatkan masa operasi malah mengurangkan risiko namun aspek keselamatan masih diutamakan.

“Antara pendekatan yang dilakukan bagi memastikan kecekapan itu dengan memastikan setiap bahagian kapal mempunyai wakil di kalangan anggota yang memastikan persekitaran berjalan dengan lancar dan teratur.

“Kunci utama adalah kerja sepasukan di mana masing-masing menjalankan tanggungjawab dengan baik,” kata Jamel yang memberitahu kapal KD Mahawangsa pada masa ini mempunyai seramai 28 pegawai dan 196 anggota.

KD Mahawangsa yang ditauliahkan pada 16 Mei 1983 itu mencatatkan kejayaan dalam Penilaian Kesediaan Operasi tahun lalu sehingga dijadikan sebagai ‘role model’ untuk kapal-kapal TLDM lain.

Kapal yang berukuran panjang 103 meter, lebar 15 meter dan mempunyai kedalaman perut lima meter itu dikategorikan sebagai Multi Purpose Command Support Ship (MPCSS).

Sebelum ini, Jamel yang ditemui mStar sewaktu kapal itu berlabuh di Tawau dalam pelayarannya dari Kota Kinabalu ke Sandakan baru-baru ini berkata, secara dasarnya KD Mahawangsa boleh melakukan tugas sejajar dengan fungsinya sebagai kapal pemerhati dan logistik.

Walaupun KD Mahawangsa sudah berusia hampir 30 tahun namun kapal itu masih dalam keadaan baik dan boleh terus berfungsi.

“Kesiagaan semua pegawai dan anggota menunjukkan komitmen yang jitu untuk terus mengadakan operasi sama ada di perairan tempatan mahupun antarabangsa,” katanya.

Selain persijilan ‘5 S’, KD Mahawangsa turut mencatatkan beberapa pencapaian antaranya pensijilan MS ISO 9001:2008 berdasarkan pencapaiannya memenuhi piawaian dalam Sistem Pengurusan Berkualiti turut dijadikan sebagai kapal latihan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan