Generasi Muda Digalakkan Sertai Seni Pertahanan Diri

Diterbitkan: Rabu, 25 Januari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Golongan generasi muda digalakkan menyertai pertubuhan seni mempertahankan diri kerana ia mampu menyemai semangat perpaduan kaum, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Beliau berkata kepelbagaian seni mempertahankan diri yang ada di Malaysia bukan sahaja mampu mengetengahkan ilmu seni mempertahankan diri malah mampu menggabungkan semangat Gagasan 1Malaysia dalam kalangan masyarakat.

"Saya dapat menyaksikan dengan kaca mata saya sendiri bagaimana Tan Sri Mahaguru (Tan Sri Omardin Mauju) dihormati bukan saja oleh pesilat tetapi juga pengamal seni mempertahankan diri daripada kaum-kaum lain.

"Makanya, ia amat mengkagumkan dengan semangat perpaduan, semangat 1Malaysia yang telah lama dialu-alukan, yang dipromosikan oleh para pesilat dan para pengamal seni mempertahankan diri yang lain," katanya ketika berucap pada Malam Pendekar 1Malaysia anjuran Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM) di sini, Selasa.

Majlis itu dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta Mahaguru PSSLM Tan Sri Omardin Mauju.

Dr Koh berkata Pendekar 1Malaysia berjuang untuk keamanan dan kedamaian negara berdasarkan semangat 1Malaysia, Rukun Negara dan perlembagaan negara.

Sementara itu, Omardin yang menyifatkan gelombang Pendekar 1Malaysia sebagai gelombang baru berhasrat memperluaskannya ke negeri Kedah dan Selangor.

"Saya minta izin daripada Perdana Menteri agar gelombang baru ini beliau akan perkenankan dan saya akan laksanakan yang terbaik untuk negara, bangsa, agama dan perpaduan," katanya.

Kira-kira 10,000 ahli persatuan seni mempertahankan diri daripada 80 badan bukan kerajaan menyertai majlis itu. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan