Tindakan Jabatan Peguam Negara Failkan Rayuan Adalah Tepat - Hishammuddin

Diterbitkan: Sabtu, 21 Januari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BENTONG: Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada Sabtu berkata, secara peribadi beliau berpendapat tindakan Jabatan Peguam Negara semalam memfailkan rayuan terhadap pembebasan dan pelepasan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan meliwat, sebagai satu tindakan yang tepat.

"Secara peribadi atas undang-undang dan hak, ia adalah keputusan yang tepat.

"Bagi saya rayuan itu bukan satu isu kerana sesiapa sahaja yang dalam keadaan seperti itu, Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pun tetap akan merayu," kata Menteri Dalam Negeri itu kepada pemberita.

Naib Presiden Umno itu berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Pemukiman Kepimpinan Umno Terengganu di Janda Baik, dekat sini.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Pada 9 Januari lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan dan melepaskan Anwar daripada tuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah semasa menyampaikan keputusan itu berkata, mahkamah tidak 100 peratus pasti bahawa integriti sampel DNA tidak diusik.

Beliau juga berkata, mahkamah keberatan mensabitkan kesalahan Anwar semata-mata berdasarkan kenyataan Mohd Saiful yang tidak disokong dengan bukti.

Hishammuddin berkata, tindakan memfailkan rayuan itu merupakan tindakan Jabatan Peguam Negara sendiri dan menegaskan Umno tidak mempunyai sebarang kaitan dengan rayuan tersebut.

"Keputusan merayu dalam tangan Peguam Negara, beliau mesti ada alasan yang diperjelaskan beliau. Mangsa (Saiful) dan keluarganya telah melalui penderitaan yang lama kerana hanya nak keadilan.

"Jadi orang yang nak putar belitkan ini dalam PKR sebenarnya, mereka menafikan rayuan itu mereka tidak juangkan keadilan, juang atas nama (parti) sahaja," katanya. Beliau berkata, pada Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang, pembangkang perlu menghadapi Umno di padang permainan yang sama rata bukan bergantung kepada isu yang telah lepas.

Jabatan Peguam Negara menerusi satu kenyataan pada Jumaat berkata, rayuan itu difailkan berdasarkan keterangan dan undang-undang, tanpa mengikut emosi atau pengaruh mana-mana pihak. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan