Pejabat Peguam Negara Fail Rayuan Terhadap Pembebasan Anwar

Diterbitkan: Sabtu, 21 Januari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pejabat Peguam Negara, pada Jumaat memfailkan notis rayuan terhadap pembebasan dan pelepasan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

Apabila dihubungi Bernama, Timbalan Pendaftar Halilah Suboh mengesahkan bahawa notis itu difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Jenayah pada kira-kira pukul 4.30 petang. Notis itu dikatakan ditandatangani Peguamcara Negara Datuk Idrus Harun.

Seorang lagi pegawai memberitahu Bernama bahawa mengikut Akta Mahkamah Keadilan 1964, hakim perbicaraan perlu mengemukakan penghakiman bertulis kepada pihak pendakwaan atau pembelaan dalam tempoh 14 hari bagi tujuan memfailkan notis rayuan.

"Setelah meneliti penghakiman bertulis itu, mereka akan membuat keputusan sama ada hendak memfailkan petisyen atau rayuan," katanya.

Hakim perbicaran Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, yang kini bercuti, dijangka kembali bertugas pada 25 Jan dan mengemukakan penghakiman bertulis beliau.

Pada 9 Januari, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan dan melepaskan Anwar. Hakim Mohamad Zabidin berkata mahkamah tidak 100 peratus pasti bahawa integriti sampel DNA tidak diusik.

Beliau juga berkata mahkamah keberatan mensabitkan kesalahan Anwar semata-mata berdasarkan kenyataan Mohd Saiful yang tidak disokong dengan bukti.

Anwar, 64, dituduh meliwat Mohd Saiful, 26, di kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara di sini antara pukul 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Beliau dikenakan pertuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.

Sementara itu, apabila dihubungi Bernama, bapa Mohd Saiful Bukhari, Azlan Mohd Lazim, 58, berkata dia gembira kerana Pejabat Peguam Negara memafailkan rayuan itu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan