Bantuan Khas RM3,000 Untuk Bekas Kakitangan Kontrak Kemas

Diterbitkan: Jumaat, 20 Januari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah mengumumkan bahawa mana-mana bekas kakitangan kontrak Kemas yang pernah berkhidmat selama lebih daripada lima tahun layak untuk memohon bantuan kewangan khas berjumlah RM3,000 daripada kerajaan.

Menterinya, Datuk Seri Shafie Apdal berkata, mereka yang layak boleh membuat permohonan tersebut di mana-mana pejabat Kemas.

Menurut beliau berdasarkan rekod, terdapat sejumlah 5,000 kakitangan kontrak yang layak untuk menerima bantuan tersebut.

"Bagaimanapun, terdapat di antara bekas kakitangan kontrak ini yang tidak dapat kita kesan dan mereka kini boleh menghubungi mana-mana pejabat Kemas yang berhampiran untuk mengisi borang permohonan ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat di kementerian berkenaan di sini Jumaat.

Beliau menjelaskan setiap permohonan mestilah disertakan dengan bukti dokumentasi yang menunjukkan mereka pernah berkhidmat lebih daripada lima tahun dengan Kemas.

“Permohonan tanpa dokumen sokongan memerlukan pemohon mengemukakan sekurang-kurangnya dua saksi yang boleh mengesahkan bahawa pemohon pernah berkhidmat dengan Kemas.

"Surat sokongan daripada Persatuan Bekas Angota Kemas (PBAKM) juga akan diterima sebagai bukti,” kata Shafie lagi. Borang permohonan untuk menerima bantuan kewangan ini juga boleh diperolehi dari semua pejabat Kemas negeri, pejabat PBAKM atau boleh dimuat turun dari laman web Kemas; http://www.kemas.gov.my.

Beliau juga memaklumkan bahawa satu majlis khas untuk penyerahan wang bantuan ini oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak akan diadakan pada 8 Februari depan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan