Kesederhanaan Suatu Keperluan, Bukan Pilihan:Muhyiddin

Diterbitkan: Khamis, 19 Januari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Khamis berkata dalam dunia serba mencabar sekarang, kesederhanaan bukan lagi suatu pilihan, tetapi suatu kemestian.

Kata beliau mengamalkan sifat sederhana dan menolak pendirian melampau merupakan kunci ke arah mencapai kesepaduan budaya dan keamanan sejagat.

"Laluan ke arah keamanan dan kemakmuran global perlu dibina berasaskan persefahaman dua hala dan sikap saling menghormati antara masyarakat yang mewakili tamadun utama dunia.

"Tidak kira sama ada tamadun Islam, Kristian, Buddha, Hindu, Sikh, Tao atau tamadun utama dunia lain, semuanya perlu berusaha ke arah mewujudkan kehidupan secara aman antara manusia yang menganut agama dan budaya yang berbeza," katanya ketika merasmikan penutupan Persidangan Antarabangsa Pergerakan Kesederhanaan Global (ICGMM) yang telah berlangsung selama tiga hari di sini, Khamis.

Muhyiddin berkata sekiranya kewujudan agama dilihat melalui prisma kesederhanaan, persamaan nilai yang akan ditemui ialah keamanan, keharmonian dan kebahagiaan sebenar.

"Ini akan menjadi kenyataan apabila pengikut setiap agama mengelak daripada mengamalkan agama dan menjalani kehidupan duniawi masing-masing secara berlebih-lebihan.

"Saya percaya sekiranya setiap orang dapat memupuk semangat kesederhanaan, yang bererti menolak tindakan berlebih-lebihan dan melampau, kemudaratan tidak akan menimpa umat manusia atas nama agama atau ideologi," katanya.

Beliau berkata punca utama wujudnya sikap melampau dan fanatik, yang selalunya menimbulkan kebencian serta permusuhan sesama manusia daripada berlainan agama dan budaya, ialah penyisihan dalam bidang ekonomi, peminggiran secara politik dan penafian hak sosial.

"Kita perlu gantikan penyisihan dalam bidang ekonomi dengan pengagihan kekayaan secara adil, menamatkan peminggiran dalam bidang politik dengan memupuk keterangkuman dalam bidang itu dan menghapuskan penafian hak sosial dengan menjunjung keadilan sosial serta menghormati maruah manusia," katanya.

Muhyiddin berkata beliau percaya benih kebaikan akan hanya membuahkan hasilnya apabila punca utama kejahatan dihapuskan sepenuhnya.

Dalam konteks Malaysia, kata beliau, negara ini memupuk sikap sederhana melalui pembabitan aktif kerajaan bersama masyarakat sivil dalam mendidik rakyatnya tentang nilai kesederhanaan dan keamanan.

"Sikap sederhana menjadi tonggak dalam kejayaan Malaysia menangani kepelbagaian etnik dan agama. Saya ingin nyatakan bahawa kejayaan negara kami bergantung pada kesediaan golongan berpendirian sederhana daripada pelbagai agama dan budaya untuk mengetepikan perbezaan yang wujud dalam kalangan mereka dan bekerja ke arah mencapai matlamat yang sama," kata beliau.

Pada majlis itu juga, Muhyiddin melancarkan buku berjudul "Voice of Islamic Moderation From the Malay World" karya Tan Sri Prof Dr Muhammad Kamal Hassan, seorang profesor ulung dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Buku berkulit keras setebal 358 muka surat itu memuatkan, antara lain, bukti tentang kebenaran Al-Quran dan Hadis, yang menyebut bahawa Islam adalah agama yang menganjurkan kesederhanaan.

Buku itu juga memuatkan pelbagai bukti jelas yang menunjukkan bahawa kesederhanaan menjadi asas keamanan, keharmonian dan kestabilan yang wujud di dunia Melayu amnya, dan di Malaysia khususnya.

Turut hadir Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan, yang juga presiden UIAM. - BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Kolumnis

iklan

Iklan