MCA Tawar Skim Mikro Kredit Kepada Golongan Belia

Diterbitkan: Rabu, 18 Januari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bertepatan dengan kedatangan tahun naga, MCA menawarkan bantuan mikro kredit sebanyak RM40 juta kepada rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama atau fahaman politik.

Di bawah skim yang dikendalikan MCA dan diselia oleh Koperasi Jayadiri Malaysia Bhd dan Koperasi Serbaguna Malaysia, pemohon pinjaman mestilah berumur di antara 21 dan 45 tahun.

Malah wang tersebut boleh digunakan untuk memulakan atau memajukan perniagaan.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata, pinjaman maksimum di bawah pakej Mikro Kredit 1MCA Untuk Belia adalah RM20,000 dan ia perlu dibayar balik dalam tempoh lima tahun dengan kadar faedah tujuh peratus.

"Kami memperkenalkan skim ini kerana menyedari kesukaran dihadapi oleh golongan muda yang tiada pengalaman atau memiliki perniagaan kecil untuk mendapatkan bantuan kewangan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden di sini, Selasa.

Beliau berkata, ibu atau bapa tunggal dan sesiapa saja yang menyertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta parti politik akan menikmati 10 mata ganjaran tambahan dalam penilaian kredit.

"Kami mengalu-alukan golongan muda tanpa mengira fahaman politik untuk memohon pinjaman ini.

"Pinjaman ini bukan disediakan untuk tujuan politik tetapi melatih lebih ramai belia Malaysia dalam bidang perniagaan," katanya.

Dr Chua berkata, permohonan yang berjaya akan diberi latihan dalam subjek yang akan membantu mereka dalam perniagaan secara percuma.

"Kami turut mencipta pangkalan data terhadap semua pemohon yang berjaya supaya mereka boleh berkongsi pengalaman dalam mengembangkan perniagaan dan rangkaian masing-masing," katanya.

Sesiapa yang berminat boleh memuat turun borang permohonan di laman web, www.mca.org.my.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan