Hasan Ali Sombong, Degil - Pemuda PAS Selangor

Diterbitkan: Selasa, 17 Januari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Tindakan bekas Exco Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali yang mahu mendedahkan kewujudan kumpulan parasit dalam PAS menimbulkan rasa tidak senang di kalangan pemimpin muda parti itu.

Sambil menyifatkan Dr Hasan sebagai seorang yang degil dan sombong, Timbalan Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohd Sany Hamzan berkata tindakan yang bakal diambil itu bakal mengundang cemuhan dan cercaan masyarakat terhadap pakar motivasi berkenaan.

"Pemuda PAS Selangor melihat tindakan Datuk Hasan yang ingin menjelajah ke seluruh negara untuk membela diri dan mendedahkan apa yang beliau labelkan sebagai parasit yang menyebabkan beliau dipecat hanya akan mengundang cemuhan dan cercaan masyarakat.

"Tindakan itu juga akan menghilangkan hormat rakyat kepada beliau kerana rakyat telah mengikuti kronologi pemecatan beliau dan telah mengenali siapa Datuk Dr Hasan Ali yang sebenarnya," katanya menerusi kenyataan media di sini, Selasa.

Selain itu Mohd Sany berkata, tindakan Hasan menggunakan saluran media bagi menegur masalah yang wujud dalam PAS turut dilihat mahu meletakkan kesilapan diri tehadap orang lain termasuk mewujudkan fitnah mengenai parasit dalam parti.

"Sebagai orang yang pernah memegang jawatan tinggi di dalam PAS dan berpengalaman sebagai seorang ahli motivasi, Datuk Dr Hasan sepatutnya berjiwa besar untuk menerima teguran dan keputusan parti serta mengikut prosedur parti untuk merayu keputusan pemecatan beliau.

"Tetapi beliau telah menunjukkan ‘belang’ sebagai seorang yang egois, degil, sombong dan tidak boleh dikawal oleh peraturan parti.

"Sekiranya wujud parasit di dalam PAS seperti yang disebut maka sewajarnya Datuk Dr Hasan membuat laporan kepada presiden untuk diambil tindakan susulan dan bukannya menjaja di dada akhbar semata-mata untuk mengharapkan simpati masyarakat," katanya.

Dalam pada itu Mohd Sany turut memberi amaran kepada Dr Hasan bahawa Pemuda PAS Selangor bersedia untuk menjelajah ke seluruh negeri bagi menjawab semua dakwaan yang bakal dibuat terhadap PAS.

Malah Mohd Sany juga menggesa agar Dr Hasan memohon maaf kepada PAS berhubung semua kecamannya sebelum ini.

"Pemuda PAS Selangor mengharapkan semoga Datuk Dr Hasan Ali akan menyedari kesalahan dan kesilapan yang telah beliau lakukan terhadap PAS dan memohon maaf kepada seluruh pimpinan dan ahli PAS di atas keterlanjuran dan keceluparan beliau sebelum ini.

"Janganlah disebabkan oleh kehilangan jawatan dan kuasa menyebabkan maruah diri sanggup digadaikan dan diperkudakan oleh Umno dan Barisan Nasional," katanya lagi.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan