SNAP Lebih Suka Sendirian Buat Masa Ini

Diterbitkan: Ahad, 15 Januari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) yang memilih Edmund Stanley Jugol sebagai presiden baru mereka pada Ahad, akan mengukuhkan parti itu sebelum membuat keputusan untuk bergabung dengan mana-mana parti.

Bercakap kepada pemberita pada Perhimpunan Agung Tiga Tahun Sekali (TGA) SNAP di sini, Edmund berkata tidak ada ertinya bagi parti itu untuk menyertai sama ada Barisan Nasional atau pakatan pembangkang, pada masa ini.

"Buat masa ini, kami lebih suka SNAP berdiri sendiri," katanya.

Namun, beliau tidak menolak kemungkinan akan bergabung dengan salah satu parti itu pada masa depan.

"Tidak dinafikan pada satu masa kelak, kita mungkin berada di dalam kerajaan, juga. Kita tidak boleh menjadi sebuah parti selama-lamanya," kata Edmund.

Tentang persiapan SNAP pada pilihan raya umum akan datang, beliau berkata penyertaan parti itu akan ditentukan oleh sumber kewangan dan kekuatan jenteranya.

Pada pemilihan parti yang diadakan sempena TGA, Edmund dipilih menerajui parti menggantikan Edwin Dundang Bugak yang enggan bertanding semula.

Antara yang terpilih ialah Kebing Wan (timbalan presiden), Johnny Wong Sie (naib presiden kanan) dan tujuh naib presiden iaitu Frankie Jurem Nyombui (juga dilantik sebagai setiausaha agung), Dayrell Walter Entyrie, Anthony Liman Sujang, Dan Giang, Rolan Teo, Malachie Dennis Ningkan dan Melissa Anne Inddu.

Dua dilantik naib presiden adalah Augustine Liom dan Abang Othman Abang Gom, manakala Datuk Seri Dennis Chang Foh Onn dilantik sebagai bendahari agung. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan