BN Selangor Biaya Kos Guaman Kes Injunksi Peniaga Kompleks PKNS

Diterbitkan: Ahad, 15 Januari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA SELANGOR: Barisan Nasional (BN) Selangor akan membiayai kos guaman berjumlah RM50,000 dalam kes mahkamah yang difailkan oleh 100 peniaga di Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Shah Alam terhadap kerajaan negeri berhubung kenaikan kadar sewa premis perniagaan itu.

Timbalan Pengerusi BN Selangor Datuk Seri Noh Omar berkata tindakan menaikkan kadar sewa premis perniagaan di PKNS sehingga 100 peratus adalah tidak munasabah dan membebankan penyewa di bangunan yang menjadi identiti negeri ini.

"Kita akan bantu biaya kos guaman yang terpaksa ditanggung oleh peniaga, saya dimaklumkan kerajaan Selangor sedang berusaha mengetepikan injuksi kenaikan kadar sewa berkenaan," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan baucar tunai sempena pelancaran Program Bantuan Rakyat 1Malasyia (BR1M) Selangor Fasa pertama di sini, Ahad.

Beliau turut membidas kerajaan Selangor kerana gagal menunaikan janji mereka untuk mewujudkan lebih banyak premis perniagaan selepas mentadbir negeri berkenaan.

"Inilah sikap mereka, janji macam-macam, konon mahu sediakan premis perniagaan yang lebih banyak. Sedangkan apa yang mereka tahu naikkan sewa, jual bangunan," katanya.

Pada 14 Dis tahun lepas, seramai 100 peniaga di PKNS Shah Alam mendapat perintah injunksi daripada Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi menghalang cadangan PKNS menaikkan kadar sewa ruang niaga di kompleks itu bermula tahun ini.

Persatuan peniaga Kompleks PKNS memfailkan injunksi (perintah sekatan) berkenaan bagi menghalang kenaikan kadar sewa premis perniagaan sebanyak 70 hingga 100 peratus di kompleks itu.

Noh berkata kerajaan BN berjanji tidak akan menaikkan kadar sewa di premis berkenaan sekiranya berjaya memerintah semula Selangor pada pilihan raya umum akan datang.

Mengulas dakwaan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bahawa Umno sudah tidak layak mengurus Dasar Ekonomi Baru (DEB) ketika berucap pada konvensyen Pakatan Pembangkang di Alor Setar, Kedah, beliau berkata Abdul Khalid perlu menyemak sejarah sebelum mengeluarkan kenyataan berkenaan.

Katanya, Abdul Khalid sepatutnya bersyukur kerana beliau sendiri menerima manfaat daripada DEB sehingga mendapat peluang menjadi dirinya pada hari ini termasuk peluang melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi.

"Dia berada di tempat dia sekarang pun disebabkan DEB," katanya.

Noh berkata tujuan DEB diwujudkan adalah supaya semua kaum di Malaysia mendapat peluang yang sama termasuk dalam bidang pengajian dan pekerjaan.

Beliau berkata DEB bertujuan menyeimbangkan keperluan rakyat berbilang bangsa contohnya semua kaum dapat menghuni di kawasan desa atau di bandar dan bukan seperti sebelum DEB diperkenalkan iaitu kawasan bandar hanya didiami oleh kaum tertentu sahaja.

Katanya, melalui DEB juga kerajaan dapat memastikan bilangan profesional dalam sesuatu bidang itu seimbang antara semua kaum.

"Kerajaan juga berjaya mempastikan semua kaum mendapat kemudahan dan manfaat sama rata dalam bidang pendidikan serta ekonomi di negara ini melalui pelaksanaan DEB," katanya.

Dalam laman portal berita tvsnews.net, Abdul Khalid dilaporkan berkata pelaksanaan DEB oleh pentadbiran Umno-BN merupakan contoh paling ketara kegagalan mereka (Umno-BN) untuk menggunakan kekayaan negara bagi mengangkat martabat masyarakat Melayu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan