Sokongan Kaum Cina Terhadap BN Akan Bertambah Baik - Rais

Diterbitkan: Sabtu, 14 Januari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JELEBU: Sokongan masyarakat Cina terhadap Barisan Nasional (BN) akan bertambah baik dari semasa ke semasa ekoran pengenalan beberapa bentuk bantuan yang disalurkan kerajaan kepada mereka.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata bantuan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia dan bantuan persekolahan sebanyak RM100 sudah cukup memberi gambaran kepada mereka bahawa kerajaan yang ada sekarang benar-benar mengambil berat tentang masalah rakyat.

"Tinggal lagi pembangkang menyatakan bahawa mereka boleh buat lebih hebat, tapi kita harus fikir bahawa mereka tidak ada apa-apa dan mereka tidak ada pelaburan atau modal, tapi hanya di mulut sahaja.

"Kita pula buktikan terus menerus, dan keyakinan inilah yang akan membawa kita kepada suasana di mana rakyat Tionghua memberi sokongan kepada BN terus menerus," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis sambutan Tahun Baru Cina bersama masyarakat Tionghua Jelebu, di Simpang Pertang, di sini, Sabtu.

Rais, yang juga Anggota Parlimen Jelebu, berkata konsep 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak juga amat diterima baik oleh masyarakat Cina, yang sekaligus mencerminkan sokongan mereka terhadap BN.

Katanya sokongan yang ditunjukkan oleh masyarakat Cina ini, akan menambah kesungguhan untuk BN berusaha bagi mencapai kejayaan dalam pilihan raya umum akan datang.

Terdahulu semasa berucap di hadapan kira-kira 500 masyarakat Tionghua yang hadir pada majlis itu, Rais berkata adalah amat penting bagi setiap rakyat Malaysia untuk memahami budaya masyarakat lain yang ada di negara ini.

Katanya kepelbagaian budaya dan perayaan yang telah diraikan oleh rakyat Malaysia sejak dahulu secara aman harus diteruskan dalam suasana yang sama.

Pada majlis itu, Rais turut menyampaikan sumbangan komputer riba 1Malaysia kepada 17 penerima, selain bantuan seperti limau mandarin sempena sambutan perayaan Tahun Baru Cina. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan