Ketua Hakim Negara Minta Peguam Tidak Buat Tuduhan Melulu Terhadap Hakim

Diterbitkan: Sabtu, 14 Januari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Kalangan peguam diingatkan agar tidak membuat tuduhan melulu dan tidak berasas terhadap hakim serta pegawai badan kehakiman.

Ketua Hakim Negara Tan Sri Arifin Zakaria berkata kalangan ahli perundangan perlu mengelak daripada berbuat demikian kerana orang ramai akan mengambil serius terhadap apa yang mereka ungkapkan.

"Kepada peguam, tolong jangan membuat sebarang tuduhan melulu dan tidak berasas terhadap hakim serta para pegawai. Tuduhan seperti ini mungkin menghakis integriti badan kehakiman," katanya ketika berucap merasmikan Tahun Perundangan 2012 di sini, Sabtu.

Sementara itu, Ketua Hakim Negara turut mengingatkan hakim dan para pegawai supaya tidak mendedahkan diri mereka kepada amalan rasuah serta menahan daripada menyalahgunakan kedudukan mereka.

Beliau berkata hakim-hakim bertanggungjawab semata-mata kepada undang-undang yang perlu ditadbir tanpa rasa gentar atau pilih kasih, mengikut perasaan atau berniat jahat.

Arifin turut menggesa hakim-hakim dan para pegawai supaya terus mengekalkan martabat serta integriti jawatan mereka.

"Kita seharusnya pada setiap masa mengamalkan perilaku dalam cara yang bersesuaian dengan kedudukan kita dalam masyarakat. Sentiasa ingat bahawa perilaku anda, sama ada bersifat peribadi atau atas dasar rasmi, sentiasa menjadi perhatian umum," katanya.

Beliau berkata dalam mengendalikan perbicaraan, hakim mesti melakukannya dengan penuh ketertiban.

Arifin mendedahkan bahawa tidak banyak aduan yang diterima mengenai hakim dan peguam yang berkelakuan buruk dalam mahkamah berikutan langkah memperkenalkan alat perakam audio-video dalam mahkamah.

Beliau berkata sebarang aduan yang diterima oleh badan kehakiman boleh disahkan menerusi rakaman itu, sekaligus menamatkan tuduhan tidak berasas yang dilemparkan terhadap hakim dan peguam.

Sementara itu, Arifin turut menegaskan bahawa badan kehakiman akan terus mencari kaedah untuk menambahbaik proses perbicaraan kes jenayah yang tergendala kerana terlalu banyak penangguhan.

Beliau berkata sebelum ini, ketika perbicaraan kes jenayah dikendalikan dengan bantuan juri, perbicaraan jarang ditangguhkan di mana sebaik sahaja perbicaraan bermula, prosiding akan berjalan dari awal hingga akhir dalam satu sesi sahaja.

Bagaimanapun, beliau berkata pada masa ini, perbicaraan kes jenayah seringkali ditangguhkan lebih daripada sekali sebelum sesuatu kes itu akhirnya diselesaikan yang semakin menjadi kelaziman dan bukannya pengecualian.

Arifin berkata oleh itu, perbicaraan kes jenayah mungkin mengambil masa lebih dari setahun atau malah lebih lama untuk diselesaikan.

"Sebagai contoh, dalam kes (liwat) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang selesai baru-baru ini, perbicaraan ditangguhkan tidak kurang daripada 48 kali," katanya.

Arifin berkata pelbagai alasan diberi untuk memohon penangguhan namun sebab paling utama ialah kurangnya tarikh yang lapang bagi peguam.

Bagaimanapun, beliau berkata apa jua alasan yang diberi untuk memohon penangguhan, mahkamah yang perlu dipersalahkan.

"Saya percaya menjadi kepentingan semua pihak yang terlibat untuk menamatkan amalan ini," katanya.

Arifin turut mengumumkan bahawa badan kehakiman sedang dalam proses menubuhkan sebuah badan tetap yang akan dikenali sebagai 'Akademi Kehakiman' untuk mengendalikan latihan bagi hakim dan para pegawai kehakiman.

Beliau berkata kesinambungan pendidikan dalam bidang perundangan bagi hakim dan para pegawai kehakiman akan terus diberi penekanan dalam tahun-tahun mendatang.

"Untuk rekod, tahun lepas sahaja, sejumlah 15 seminar dan kursus dikendalikan di seluruh negara, melibatkan hakim-hakim terkemuka dan profesional lain. Kesemua ini dikendalikan secara ad-hoc," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Kolumnis

iklan

Iklan