Pasukan Petugas Diberi Dua Bulan Semak Semula SBPA

Diterbitkan: Jumaat, 13 Januari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sebuah pasukan petugas akan ditubuhkan bagi melaksanakan semakan semula Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dengan mengambil kira prinsip-prinsip perkhidmatan dan saraan perkhidmatan awam.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata pasukan petugas itu, yang akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam, diberi tempoh dua bulan iaitu sehingga 16 April, untuk mengkaji isu-isu yang berkaitan dan seterusnya mengemukakan cadangan kepada kerajaan.

Pasukan petugas itu akan dianggotai oleh pegawai Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Peguam Negara, Kementerian Kewangan dan Presiden Cuepacs serta pegawai kementerian yang berkaitan.

"Pasukan petugas tersebut akan mengadakan konsultasi dan perbincangan dengan pihak-pihak berkenaan termasuk kesatuan dan persatuan sekerja.

"Isu-isu berhubung pelaksanaan SBPA hendaklah dialamatkan atau diemelkan dalam tempoh satu bulan dari kenyataan media ini iaitu pada 15 Feb," katanya dalam satu kenyataan, Jumaat.

Isu-isu itu boleh dialamatkan kepada farida.sbpa Datuk Farida Mohd Ali, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Jabatan Perkhidmatan Awam, Aras 13, Blok C1, Kompleks C, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62510 Putrajaya.

Mohd Sidek berkata bagi mereka yang belum mengemukakan borang opsyen SBPA pada tarikh kenyataan media ini dan mereka yang telah membuat opsyen untuk tidak memilih SBPA, borang opsyen yang baru akan dikemukakan setelah keputusan muktamad hasil semakan semula itu dibuat.

"Bagi mereka yang telahpun bersetuju memilih SBPA, opsyen tersebut kekal," katanya.

Mohd Sidek berkata kerajaan memberi jaminan bahawa SBPA yang telah disemak semula itu adalah terpakai kepada semua pegawai dan tidak akan menjadi kurang baik daripada terma dan syarat SBPA yang telah ditawarkan terdahulu termasuklah kemudahan dan gaji. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan