Cuepacs Mahu Lebih 'Suara' Dalam Semakan Semula SBPA

Diterbitkan: Jumaat, 13 Januari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu mempunyai 'suara' dalam perbincangan berhubung semakan semula terhadap skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) supaya tiada isu berbangkit selepas ia dilaksanakan kelak.

Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman berkata sebelum ini, badan itu hanya dimaklumkan selepas skim berkenaan dirangka, menyebabkan kebanyakan penjawat awam tidak berpuas hati.

"Kami (Cuepacs) harus menjadi peranan utama dalam jawatankuasa (untuk menyemak semula SBPA) supaya kami boleh memberi pandangan," katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat Cuepacs di sini, Jumaat.

Pada Khamis, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan skim SBPA akan disemak semula dan ia bertujuan untuk menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu berkaitan dengan pelaksanaannya.

Najib juga berkata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan telah diminta menentukan mekanisme semakan semula yang akan dijalankan.

Mengulas lanjut, Omar berkata pihaknya akan mengadakan roadshow, seperti yang diminta oleh Perdana Menteri, di seluruh negara selepas Tahun Baru Cina, bagi menjelaskan penangguhan pelaksanaan skim SBPA.

"Dalam roadshow itu, kita juga akan dapatkan pandangan daripada ahli-ahli untuk dibangkitkan dalam jawatankuasa (untuk menyemak semula SBPA)," katanya.

Beliau juga berharap dengan semakan semula terhadap SBPA, yang dijangka selesai dalam tempoh dua bulan, akan memberi keadilan kepada semua penjawat awam terutama berhubung kenaikan dan tangga gaji baru.

Sehubungan itu, beliau meminta penjawat awam supaya bersabar kerana percaya semakan semula yang dibuat terhadap skim SBPA akan lebih memuaskan hati mereka.

"Penjawat awam juga jangan bimbang kerana tarikh SBPA dikuatkuasakan mulai 1 Jan 2012. Kalau, ia dilaksanakan misalnya bulan Jun, mereka akan tetap dapat tunggakan," katanya.

Katanya sebanyak 600,000 penjawat awam sudah menandatangani surat tawaran skim SBPA sebelum ini.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum ini bersetuju melanjutkan tarikh penerimaan tawaran opsyen SBPA bagi penjawat awam sehingga 15 Jan ini, bagaimanapun mengekalkan tempoh penerimaan opsyen bagi umur persaraan pada 60 tahun pada 30 Disember lepas.

Sebelum itu, penjawat awam diberi tempoh 15 hari mulai 16 Disember lalu bagi mereka membuat pilihan sama ada untuk memilih SBPA atau kekal dalam skim perkhidmatan yang lama.

Dalam skim baru itu, hierarki Perkhidmatan Awam terdiri daripada empat peringkat iaitu Kumpulan Premier; Kumpulan Pengurusan Tertinggi; Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan Kumpulan Pelaksana. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan