PKR Dedah Bukti Dakwaan Seleweng Wang Zakat MAIWP

Diterbitkan: Khamis, 12 Januari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Nik Nazmi Nik Ahmad.
Nik Nazmi Nik Ahmad.

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Rabu mendedahkan bukti bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom terbabit dalam penyelewengan wang zakat bagi pembayaran kos guaman beliau.

Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, bukti tersebut ialah set dokumen yang menunjukkan Jamil Khir menggunakan wang zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi pembayaran kos guaman dalam kes tuntutan qazaf Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Bukti tersebut ialah set dokumen yang diperoleh daripada pegawai MAIWP atas rasa tanggungjawab yang merasakan perkara tidak betul berlaku.

"Dokumen ini termasuk baucar bayaran bernombor 2010B04112 bertarikh 29 April 2010 sebanyak RM32,150.

"Baucar tersebut secara terang merakamkan kumpulan wang yang digunakan merupakan kumpulan wang zakat," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat PKR di sini, Rabu.

Nik Nazmi berkata, dokumen kedua pula merupakan surat daripada Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang kepada Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Negara, Datuk Azmi Khalid yang mengesahkan bahawa RM63,650 wang zakat digunakan bagi membayar kos guaman MAIWP.

Jumlah itu meliputi bayaran pertama sebanyak RM31,500 pada 9 Februari 2010 dan RM32,150 yang tercatat di dalam baucar tersebut.

“Ini mengesahkan laporan atau siasatan yang dibuat oleh Ketua Audit Negara,” katanya.

Pembayaran kos guaman Jamil Khir itu turut melibatkan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Datuk Che Mat Che Ali dan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan Shamsuddin Hussain.

Nik Nazmi yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia berkata, Jamil Khir dalam kenyataannya berkali-kali menegaskan bahawa MAIWP mempunyai peruntukan kerajaan sebanyak RM700,000 bagi menampung pelbagai pembayaran termasuk kos guaman.

“Namun Laporan Ketua Audit kita sudah nyatakan lebih awal. Jamil Khir hanya menjawab mempunyai peruntukan kerajaan RM700,000 tetapi tidak pernah sentuh langsung bahawa Laporan Ketua Audit ada menyebut bahawa kedua-dua bayaran Februari dan April itu menggunakan wang zakat dahulu,” katanya.

Beliau menambah, MAIWP menerima peruntukan kerajaan berjumlah RM700,000 pada 22 Jun 2010 untuk peruntukan am.

"(Namun) hanya pada Disember 2010, baru wang tersebut digantikan kira-kira enam bulan selepas peruntukan tersebut disalurkan ke dalam MAIWIP. Jamil Khir tidak menyebut tentang hal ini.

“Ini bukan peruntukan kerajaan tetapi wang zakat. Ini bukan ambil dulu kemudian pulangkan. Kita pernah bangkitkan kes di Johor, (bekas) amil (menyalahgunakan wang zakat kira-kira RM20,000) yang dikenakan hukuman empat tahun penjara dan tiga sebatan.

“Kenapa beza untuk menteri?,” soal Nik Nazmi.

Dalam pada itu, Nik Nazmi turut memperbetulkan laporan sebuah akhbar arus perdana pada 4 Januari lalu yang memetik kenyataan Bahagian Hal Ehwal Korporat Jabatan Audit Negara bahawa isu salah guna zakat tidak dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010.

“Keadilan tidak pernah mendakwa demikian sebaliknya kami merujuk kepada surat Ketua Audit Negara kepada Jawatankuasa Kira-Kira Negara,” katanya.

Sebelum ini, Jamil Khir menegaskan bahawa laporan yang mendakwa beliau terbabit dalam penyelewengan wang zakat adalah tidak benar dan merupakan satu fitnah semata-mata.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, wang yang digunakan bagi pembayaran kos guaman beliau dalam kes tuntutan qazaf Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bukannya daripada wang zakat MAIWP sepertimama yang didakwa tetapi peruntukan yang disalurkan kerajaan untuk bayaran kos guaman.

"Setiap tahun kerajaan bagi bajet kepada MAIWP dan tahun ini RM700,000 diperuntukkan untuk tujuan pembayaran contohnya kes perebutan jenazah, kes libatkan saudara baru, isu murtad yang dibawa ke mahkamah, dan kita ini yang kita pakai lah," kata beliau.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan