Setiausaha Agung PAS Sahkan Surat Pemecatan Telah Dihantar Kepada Dr Hasan Ali

Diterbitkan: Rabu, 11 Januari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Surat pemecatan keahlian PAS kepada bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali telah diserahkan kepadanya pada Isnin.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali yang dihubungi mStar Online pada Selasa.

"Ya..ya. Surat itu disampaikan dengan tangan oleh kakitangan Pejabat Agung parti itu ke rumah Hasan di Pinggiran Taman Tun Dr Ismail," katanya.

Menurut beliau, surat yang ditandatanganinya itu diserahkan kepada anak Hasan kira-kira pukul 12 tengah hari, Isnin.

"Melalui surat itu, kita telah nyatakan beliau telah dipecat sebagai ahli namun dia berhak membuat rayuan kepada Majlis Syura Ulama dalam tempoh 30 hari," katanya.

Mustafa berkata, sekiranya Hasan mengemukakan rayuan untuk menyertai semula PAS, terpulang kepada Majlis Syura untuk mempertimbangkan permohonannya.

"Peringkat PAS Pusat sudah tiada kuasa. Sekarang terpulang kepada Majlis Syura untuk buat keputusan," katanya.

Jawatankuasa PAS pusat pada Ahad sebulat suara membuat keputusan memecat Hasan berkuat kuasa serta-merta dalam satu mesyuarat parti itu lebih tiga jam di Kuala Lumpur.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjelaskan pemecatan tersebut dilakukan berdasarkan Fasal 82 (9) Perlembagaan PAS.

"Keputusan ini dibuat berdasarkan kepada tindakan-tindakan YB Datuk Hasan Ali yang menyalahi dan merugikan kepentingan Parti sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan PAS," katanya.

Susulan itu, Hasan mengadakan sidang tergempar pada malam Ahad berhubung reaksinya terhadap pemecatan itu.

Menurut Hasan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, pemecatan beliau hanya disebabkan oleh dasar Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Timbulnya saya dipecat kerana Anwar Ibrahim. Apa yang saya komen tentang Anwar Ibrahim (sebelum ini) adalah komen peribadi.

“Saya tidak mahu dia mengheret rakyat supaya menjunjung perjuangannya yang dirasakan ‘kotor’. Ini yang saya perjuangkan.

“Saya adalah antara orang PAS yang tidak pernah keluar bersama Anwar Ibrahim untuk menunjukkan justifikasi kenapa Anwar Ibrahim terus dilonjakkan sebagai perdana menteri,” katanya kepada pemberita di kediamannya di sini, malam Ahad.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan