Umno Tak Tawar Keahlian Kepada Hasan Ali:Muhyiddin - Berita Semasa | mStar

Umno Tak Tawar Keahlian Kepada Hasan Ali:Muhyiddin

Diterbitkan: Selasa, 10 Januari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Umno tidak membuat apa-apa tawaran keahlian kepada anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Hasan Ali yang dipecat oleh Pas pada Ahad, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Presiden Umno ketika ditanya kemungkinan Hasan menyertai Umno, berkata bahawa sebagai pemimpin bijak dan berpengalaman, Hasan boleh memilih mana-mana parti politik yang dianggap sesuai dengan perjuangannya.

"Kita (Umno) tidak terburu-buru dalam hal ini, malah kita tidak membuat apa-apa tawaran pun. Mungkin dia (Hasan) dapat fahami secara dalam apa Pas sebenarnya.

"Kita tak pula kata nak halang tetapi seperti semua sedia maklum, Umno membuka pintunya kepada sesiapa yang menyokong perjuangan kita," katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan perutusan khas sempena tahun baru kepada warga Kementerian Pelajaran di sini Selasa.

Muhyiddin berkata apa yang berlaku kepada Hasan adalah urusan dalaman Pas dan Umno tidak mencampuri masalah parti lain.

Beliau menjelaskan bahawa amalan demokrasi Umno ialah tidak menyingkirkan mana-mana ahlinya tanpa diberi peluang membela diri.

"Dalam Umno, kita ada Jawatankuasa Disiplin yang akan mengeluarkan notis tunjuk sebab terhadap ahli berkenaan, kita bagi tempoh untuk beliau memberi penjelasan dan selepas itu baru kita buat keputusan, lebih-lebih lagi jika membabitkan seorang pemimpin.

"Ini yang berlaku dalam Umno sejak zaman berzaman. Pas ada sistem tersendiri, kuasa mutlak untuk melakukan apa yang dibuat terhadap Hasan Ali. Lihat sendiri bagaimana berhemahnya Umno berbanding yang lain," katanya. - BERNAMA

   

iklan

Video

Khamis, 12 Julai 2018 1:05 PM

Lempang pelajar ikut suka hati

Selasa, 10 Julai 2018 6:39 PM

Nak 'gugur jantung' tengok pakcik ini memandu

Selasa, 10 Julai 2018 3:06 PM

Pengasuh pijak, hempas anak jagaan

Isnin, 9 Julai 2018 5:30 PM

Ragam si meow & bola!

Jumaat, 6 Julai 2018 5:39 PM

Tak sanggup tengok mayat mangsa kemalangan

Jumaat, 6 Julai 2018 12:48 PM

Durian buah untuk orang kaya?

Khamis, 5 Julai 2018 7:02 PM

Ngeri! Nampak kaki dalam beg baju

Kolumnis

iklan

Iklan