SUPP Umum Butiran Pelan Transformasi Minggu Depan

Diterbitkan: Ahad, 8 Januari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MIRI: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) akan membuat pengumuman penting berhubung pelan transformasi parti itu minggu depan, kata Presiden parti Datuk Seri Peter Chin.

Beliau berkata parti itu dijadual mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC), badan pembuat keputusan parti itu pada 13 Jan.

"Kami akan mengumumkan beberapa pengumuman penting pada hari itu selaras dengan pelan transformasi parti," katanya kepada pemberita selepas menghadiri jamuan malam anjuran Jawatankuasa Rukun Tetangga Kampung Pujut Tanjung Batu di sini malam Sabtu.

Chin, yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, berkata mesyuarat CWC akan membincangkan tentang kaedah dan langkah memperkukuhkan strategi perang siber parti terhadap parti pembangkang sebagai sebahagian daripada persiapan menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata parti itu juga akan melihat kepada aspek budaya yang boleh menjadi medium untuk menyatupadukan anggota parti.

Chin berkata pada masa ini bentuk pemikiran dalam kalangan anggota parti masih terlalu bersifat kewilayahan iaitu wilayah selatan yang meliputi Kuching, Kota Samarahan, Sri Aman dan Betong manakala tengah (Sarikei, Mukah, Sibu dan Kapit) serta wilayah utara negeri Sarawak yang meliputi Bintulu, Miri dan Limbang.

Chin mengambil alih kepimpinan parti daripada Tan Sri Dr George Chan pada Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali (TDC) bulan lepas.

Tedahulu, semasa berucap Chin yang juga Anggota Parlimen Miri berkata permohonan 4,749 keluarga dari Senadin, Pujut dan Piasau untuk wang bantuan RM500 di bawah program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) telah diluluskan.

Katanya mereka terdiri daripada 2,345 keluarga dari Senadin, 1,562 keluarga (Piasau) dan 842 keluarga dari Pujut. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan