Perhimpunan Dibenarkan: Mat Sabu Galak Lebih Ramai Ahli Pas Turut Serta

Diterbitkan: Jumaat, 6 Januari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menggalakkan lebih ramai ahli parti untuk menyertai perhimpunan pada 9 Januari ini selepas mendapat kebenaran polis pada Jumaat untuk mengadakannya di luar tempat letak kereta awam di luar kompleks mahkamah Jalan Duta.

“Jika sebelum polis benarkan, saya sudah memberitahu ahli PAS boleh hadir ke perhimpunan ini. (Tetapi) selepas mendapat kebenaran (polis), lebih ramai ahli parti digalakkan untuk sama-sama menyertai presiden dan timbalan presiden.

“Kita menyertai perhimpunan secara aman hanya sebagai tanda sokongan maka janganlah ada pihak lain yang cuba untuk menimbulkan sebarang kekacauan,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Jumaat.

Sehubungan itu, beliau yang juga dikenali sebagai Mat Sabu meminta agar semua pihak menghormati keputusan polis dalam membenarkan kumpulan pembangkang mengadakan perhimpunan pada 9 Januari ini.

“Polis sudah beri kebenaran agar perhimpunan ini diteruskan tetapi saya harap polis juga terus bertanggungjawab mengawal keselamatan pada hari itu nanti.

“Semua ada tanggungjawab masing-masing. Kita hadir untuk mengikuti keputusan perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim manakala polis boleh mengawal keadaan bagi memastikan perhimpunan ini dilakukan secara aman,” katanya yang mengharapkan tiada sebarang provokasi daripada mana-mana pihak pada hari berkenaan.

Terdahulu, wakil pembangkang yang diketuai Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmi Ali mengadakan pertemuan dengan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini, pagi Jumaat.

Berdasarkan persetujuan bersama, penyokong ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dibenarkan untuk mengadakan perhimpunan secara aman pada Isnin di tempat letak kereta awam di luar kompleks Mahkamah Jalan Duta.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan