Kerajaan Pertimbang Bina PPR Di Segambut:Muhyiddin

Diterbitkan: Jumaat, 6 Januari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat berkata kerajaan akan mempertimbangkan untuk membina Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Segambut di sini bagi mengatasi masalah setinggan di kawasan berkenaan.

Katanya beliau akan mengadakan perbincangan dengan pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengenai pembinaan PPR itu.

"Antara perkara yang akan dikaji kerajaan dalam pembinaan PPR di Segambut ialah jumlah peruntukan yang diperlukan, jumlah PPR yang perlu dibina dan berapa kadar sewa sebulan yang diperlu dibayar oleh penghuni kelak," katanya.

Muhyiddin berkata demikian ketika berucap pada jamuan bersama penduduk selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Firdaus, Segambut Luar, sempena program turun padang beliau ke Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Ahmad Fuad Ismail.

Terdahulu, Ketua Umno Bahagian Segambut Datuk Kamaruddin Ambok mengutarakan masalah 23 kawasan setinggan di Segambut kepada Timbalan Perdana Menteri, sambil memohon agar kerajaan membina PPR sebagai penyelesaian kepada masalah tersebut.

Dalam pada itu, Muhyiddin menggesa orang ramai supaya menjaga keamanan yang dikecapi negara selama ini sambil menarik perhatian bahawa kerajaan tidak mahu pihak-pihak tidak bertanggungjawab membangkitkan suasana tidak tenteram sehingga boleh menjurus kepada huru-hara.

"Keselamatan negara perlu dipertahankan demi memastikan Malaysia mencapai status negara maju menjelang 2020," katanya dan menambah kerajaan melakukan pelbagai program ke arah itu melibatkan transformasi kerajaan, ekonomi dan politik serta inisiatif lain untuk memastikan rakyat menikmati kehidupan lebih baik.

Muhyiddin sebelum itu menyertai hampir 2,000 jemaah menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan, dan mereka mengambil kesempatan untuk bersalaman dengan pemimpin negara itu.

Muhyiddin turut memaklumkan bahawa Masjid Al-Firdaus akan dinaik taraf dalam masa terdekat untuk menampung pertambahan penduduk Islam di kawasan berkenaan.

Beliau kemudian meluangkan masa kira-kira sejam melawat penduduk Kampung Segambut Permai yang terletak berhampiran. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Kolumnis

iklan

Iklan