Demonstrasi Bukan Jalan Terbaik Bagi Pelajar Luah Perasaan

Diterbitkan: Jumaat, 6 Januari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Demonstrasi bukan jalan terbaik bagi golongan pelajar meluahkan perasaan tidak puas hati berhubung sesuatu perkara sebaliknya mereka boleh berbincang atau berdebat menerusi wacana ilmiah.

Penolong Naib Canselor (Pengurusan Penyelidikan) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Profesor Dr Abu Bakar Majeed berkata melalui wacana ilmiah pemimpin dan penceramah dari kedua-dua pihak yang bertelagah dalam sesuatu isu wajar diundang untuk sama-sama memberi pendapat mereka dan pada masa yang sama mendengar pendapat yang dibangkitkan oleh para pelajar.

"Sudah tentu apabila berwacana dengan ikhlas semua harus bertolak ansur, ada benda yang kedua-dua pihak perlu korbankan. Dengan demikian barulah ada penyelesaian," katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama di sini Jumaat.

Beliau berkata kebanyakan daripada mahasiswa yang terlibat dengan demonstrasi seperti yang berlaku baru-baru ini sebenarnya tidak memahami maksud kebebasan akademik dan membiarkan diri mereka diperalatkan.

Abu Bakar berkata kebebasan akademik bermaksud kefahaman bahawa atas dasar ingin tahu para pelajar dan pensyarah boleh meluahkan pendapat berdasarkan fakta tentang sebarang isu yang berbangkit.

"Dalam kerangka perundangan negara pada hari ini tiada kekangan kebebasan akademik bagi pelajar mahu pun pensyarah, yang penting mereka berhujah atas dasar fakta, bukan emosi atau menurut telunjuk pihak lain yang berkepentingan," katanya.

Mengulas mengenai tindakan pihak berkuasa terhadap pelajar yang terbabit dalam demonstrasi itu, Abu Bakar berkata pelajar sepatutnya telah maklum bahawa pihak berkuasa mempunyai prosedur kerja yang tersendiri dalam menjaga ketenteraman awam.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan para pelajar mengambil tindakan lebih bijak dalam menangani isu-isu berkaitan masyarakat dan bukan dengan cara yang merosakkan.

Pengarah Pusat Pemikiran dan Pemahaman Islam UiTM Prof Madya Dr Rahimi Osman berkata pelajar yang terbabit dalam demonstrasi secara ganas adalah bertentangan dengan nilai-nilai agama, undang-undang negara dan adat budaya masyarakat negara kita.

"Demonstrasi adalah perbuatan yang tiada hubungan dengan Islam. Ini kerana Islam menganjur umatnya bermesyuarah dan berunding dalam menyelesaikan sesuatu masalah.

"Melalui bermesyuarah akan timbul rasa persefahaman dan persatuan. Sebaliknya demonstrasi akan membawa perpecahan dan kebencian," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan