Anggota Pangkat Rendah ATM Digalak Lulus SPM Untuk Nikmati Gaji Baru

Diterbitkan: Jumaat, 6 Januari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SUNGAI PETANI: Anggota pangkat rendah dalam perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia dalam kategori "Lain-lain Pangkat" (LLP) yang tidak memiliki Sijil Pelajaran Malaysia disaran mengambil peperiksaan itu agar mereka dapat menikmati gaji dan imbuhan baru yang lebih baik.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, mereka perlu lulus SPM dalam tempoh enam tahun mulai tahun ini untuk menikmati perubahan gaji dan imbuhan mengikut Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) ATM yang dilaksanakan bulan ini.

Katanya, syarat itu penting bagi meletak ATM pada tahap profesionalisme seiring dengan keperluan pertahanan negara yang berkembang.

"Dulu untuk menjawat LLP dalam ATM hanya perlu lulus darjah enam, Sijil Rendah Pelajaran (SRP) atau Penilaian Menengah Rendah (PMR) asalkan boleh membaca dan menulis.

"Keperluan dan syarat itu sekarang telah berubah. Kita mahu pemohon ada SPM dengan kredit Bahasa Malaysia dan Matematik serta lulus bahasa Inggeris," katanya kepada pemberita selepas sesi dialog mengenai SBPA ATM dengan pegawai dan anggota tentera di Markas Staf Stesen, Kem Lapangan Terbang, di sini Jumaat.

Panglima Dua Divisyen, Mej Jen Datuk Azizan Md Delin, Panglima Briged Keenam Infantri, Brig Jen Datuk Md Tajri Alwi dan Penyelaras Parlimen Merbok, Datuk Tajul Urus Md Zain turut hadir.

Abdul Latiff berkata, terdapat 15,000 anggota LLP yang belum miliki kelulusan SPM dan mereka diberikan tempoh enam tahun untuk memilikinya.

Katanya, anggota LLP sedia ada yang memiliki kelayakan SPM lebih awal dari tempoh enam tahun akan diberi kenaikan gaji baru seperti termaktub dalam SBPA ATM manakala yang tidak memilikinya akan diletakkan di bawah skim Khas Untuk Penyandang (KUP) ATM.

Beliau berkata, ATM tidak bercadang menamatkan perkhidmatan anggota LLP yang tidak lulus SPM.

"Yang tak mahu miliki atau lulus SPM atau tidak dinaikkan pangkat ke Lans Koperal perlu menunggu tempoh lebih lama iaitu enam tahun untuk menikmati gaji baru setanding SBPA ATM. Jadi eloklah belajar dan ambil SPM," katanya.

Abdul Latiff berkata, semua anggota ATM telah bersetuju menandatangani opsyen menyertai SBPA ATM. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan