Tiada Lanjutan Tempoh Pemutihan PATI Yang Berakhir Sabtu Ini - KDN

Diterbitkan: Khamis, 5 Januari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri tidak bercadang melanjutkan tempoh untuk memutihkan Pekerja dan Pendatang Asing Tanpa Izin (6P) selepas tarikh akhir proses pemutihan pada Sabtu ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Lee Chee Leong berkata kerajaan sudah memberikan tempoh sejak 10 Oktober lepas untuk mereka berurusan di lapan pusat pemutihan yang disediakan di beberapa negeri.

Bagaimanapun beliau berkata majikan yang sedang menunggu kelulusan dokumen/pasport daripada kedutaan yang dijangka siap selepas Sabtu ini akan dibenarkan berurusan terus dengan pusat pemutihan selepas menerima dokumen itu untuk proses selanjutnya.

"Difahamkan, ada kelambatan dalam proses mendapatkan pasport dan dokumen perjalanan. Jadi ada sedikit masalah dihadapi majikan. Walaupun selepas 10 Jan ini, kita masih meneruskan proses 6P untuk mereka dengan syarat mereka mendaftar terlebih dahulu," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat setempat Program 6P di Dewan Serbaguna Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi di sini, Khamis.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Imigresen Datuk Alwi Ibrahim.

Lee berkata sehingga hari ini seramai 133,156 pekerja/PATI daripada 16,680 majikan telah diputihkan dengan angka tertinggi dicatatkan di pusat setempat Jabatan Imigresen Putrajaya iaitu 13,387 majikan bagi memutihkan 118,457 pekerja/PATI.

Lee berkata Kompleks KDN di Seberang Jaya, Pulau Pinang menerima permohonan daripada 1,325 majikan untuk memutihkan 4,759 orang diikuti Kompleks KDN Johor Baharu, Johor dengan permohonan 1,022 majikan bagi pemutihan 4,583 orang.

Selain itu, Jabatan Pendaftaran Negara Putrajaya menerima permohonan 530 majikan untuk pemutihan 2,760 orang, Jabatan Imigresen Presint 15 (167 majikan, 1,407 orang), Kompleks KDN Jalan Duta (175 majikan, 943 orang) dan Jabatan Imigresen Pelabuhan Klang dengan permohonan 60 majikan untuk pemutihan 208 pekerja/PATI.

Sementara itu pusat pemutihan terbaru di Kompleks Mini KDN Kuantan, Pahang yang mula beroperasi semalam sudah menerima permohonan 14 majikan untuk memutihkan 39 PATI, kata Lee. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan