Selesema Burung Di China: Orang Ramai Diminta Tidak Bimbang

Diterbitkan: Khamis, 5 Januari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Orang ramai diminta supaya tidak bimbang dengan kejadian terbaru kes selesema burung (H5N1) di China yang menyebabkan kematian seorang lelaki di Shenzhen di dalam wilayah Guangdong baru-baru ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Abd Aziz Jamaluddin berkata Malaysia tidak mengimport ayam dari wilayah itu tetapi hanya dua produk berasaskan ayam iaitu serbuk ayam dan minyak ayam tulen yang berjumlah 1.4 tan metrik sehingga November tahun lalu.

Beliau berkata bagi menghasilkan kedua-dua produk tersebut, beberapa proses lain perlu dilakukan yang dapat membunuh virus berkaitan sekiranya ada.

Sementara 28,000 tan ayam tanpa tulang juga diimport dari China tetapi dari wilayah Shandong yang masih bebas dari sebarang kes H5N1, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Abd Aziz menjelaskan ayam dan produk ayam yang dibawa masuk ke negara ini perlu melalui prosedur pemeriksaan di loji atau rumah sembelih yang diiktiraf kerajaan dengan penyelarasan jabatan bagi semua permohonan mengimport produk berkenaan.

Beliau menegaskan tiada sebarang kes H5N1 yang dikesan di negara ini setakat ini sama ada di kalangan manusia atau haiwan, bagaimanapun tindakan berjaga-jaga sentiasa diambil.

Katanya antara langkah yang telah diambil termasuk mengeluarkan arahan kepada bahagian penguat kuasa negeri untuk membuat penyiasatan serta merta berhubung sebarang kes kematian unggas seperti ayam, itik dan burung yang dilaporkan serta mewajibkan ladang komersil untuk melaporkan kematian unggas mereka yang luar biasa yang melebihi kadar tiga peratus sehari.

"Kita juga akan menggerakkan kumpulan penguat kuasa kita di seluruh negara untuk memantau kebarangkalian berlaku penyakit di luar kawasan yang dijangka umpamanya di kawasan kampung, di kawasan yang ayamnya dipelihara secara lepas, di tempat penyembelihan yang kecil dan di kedai-kedai burung," katanya.

Abd Aziz berkata kerajaan juga mempunyai rangkaian makmal diagnostik di seluruh negara dan institut penyelidikan yang mempunyai keupayaan menangani segala keperluan diagnostik virus tersebut, selain terdapat bilangan penyelidik yang lebih ramai dan makmal bergerak untuk memastikan penyakit seperti H5N1 dapat diketahui dengan lebih pantas dan jelas.

Beliau berkata satu latihan simulasi menghadapi wabak telah dilaksanakan pada September lalu bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan kakitangan dari pelbagai agensi bagi menghadapi sebarang kemungkinan kemunculan wabak.

Maklumat mengenai kes kematian luar biasa unggas seperti burung, itik dan ayam boleh dilaporkan di pejabat veterinar terdekat atau menghubungi talian 03-8870 2041 atau melalui faksimili di talian 03-8888 6472. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan