PAS Seleweng Fakta Pembangunan Kompleks Al-Bukhary

Diterbitkan: Khamis, 5 Januari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Kerajaan Pas Kedah telah menyeleweng fakta dengan memberi gambaran tindakan meroboh Madrasah Salihiah sama seperti pembangunan Kompleks Al-Bukhary di Alor Malai yang dilaksanakan semasa pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata dalam kes Madrasah Salihiah itu kerajaan Pas ingin merobohkan sebuah surau serta mengambil tanah wakaf untuk didirikan sebuah kompleks membeli belah.

"Dalam pmbangunan Kompleks Al-Bukhary, masjid yang sedia ada dirobohkan untuk pembinaan sebuah masjid yang lebih baik, luas dan selesa juga di kawasan yang sama," katanya dalam satu kenyataan di sini Khamis.

Beliau berkata, masjid baru itu boleh menampung lebih 3,000 jemaah berbanding masjid lama yang hanya dapat menampung kira-kira 500 jemaah.

Sebagai bekas Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan semasa pembangunan projek Kompleks Al-Bukhary yang dimulakan sekitar tahun 2003, katanya penduduk juga telah menyatakan persetujuan bagi pembinaan masjid baru itu.

"Berbanding dengan Madrasah Salihiah itu para jemaah dan waris tanah wakaf berkenaan menentang tindakan meroboh madrasah dan kemudian mahu membina surau ganti di dalam kompleks membeli belah," kata Ahmad Bashah. Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan Kedah, Abdul Ghani Ahmad dalam sebuah akhbar harian yang mendakwa tindakan kerajaan negeri yang mahu merobohkan Madrasah itu pernah dilakukan kerajaan BN dahulu yang merobohkan Masjid Alor Malai untuk membangunkan kompleks Al-Bukhary. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan