NFC: Polis Ambil Keterangan Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat

Diterbitkan: Khamis, 5 Januari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Rafizi Ramli petang ini telah diambil keterangan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis berhubung beberapa isu yang dibangkitkannya mengenai penggunaan sumber kewangan Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC).

Rafizi ketika ditemui para pemberita sejurus sebelum masuk memberi keterangan memberitahu beliau telah dihubungi oleh Superitendan Ravinda dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial untuk memberi kerjasama dalam membantu siasatan terhadap kes berkenaan pada Rabu.

"Saya dipanggil untuk siasatan hari ini adalah berkaitan dengan semua pendedahan mengenai penyelewengan NFC setakat ini.

"Diharapkan kerjasama ini dapat membantu menyelesaikan kemelut kepada kes ini secepat mungkin," katanya.

Terdahulu dalam sidang media pada pagi Rabu, Rafizi meminta pihak berkuasa menyiasat sama ada Pengerusi NFC Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail benar-benar terlibat dalam meminta Ketua Pegawai Eksekutif Shamsubahrin Ismail Resources Sdn Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail menyogok pihak polis dan juga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Jumaat lalu, Shamsubahrin telah didakwa di Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur atas dua tuduhan cuba menipu Mohamad Salleh melibatkan wang sejumlah RM1.755 juta.

Bagaimanapun ahli perniagaan itu tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan.

Rafizi sebaliknya mendakwa Salleh cuba merasuah sebanyak RM1.755 juta kepada pegawai penyiasat SPRM dan Polis melalui Shamsubahrin.

Beliau berkata, apa yang paling jelas peruntukan sejumlah RM250 juta daripada kerajaan kepada NFC telah pun disalahgunakan untuk tujuan-tujuan lain.

"Sepatutnya bukan sahaja siasatan polis tetapi kepada kerajaan terutama Kementerian Kewangan ambil tindakan secepat mungkin untuk membeku perbelanjaan NFC.

"Itu sepatutnya menjadi tindakan pertama yang perlu diambil," katanya.

Menurut beliau, pada kaca mata rakyat, semua ini perlu dibuktikan segera tetapi ia adalah bidang kuasa polis melakukan siasatan dan beliau sudi untuk membantu memberikan kerjasama.

"Tetapi apa yang lebih teruk apabila kerajaan tidak membekukan perbelanjaan NFC.

"Sebab itu wang sejumlah RM1.755 juta boleh diambil untuk tujuan lain.

"Jika kerajaan membekukan wang tersebut, tangkapan berkaitan dengan wang tersebut tidak akan berlaku," katanya lagi.

Sementara itu, Rafizi ketika ditemui beberapa jam kemudian selepas selesai memberi keterangan tersebut berkata, pihak polis memberi gambaran bahawa proses siasatan kini di peringkat akhir dan mungkin terdapat pengumuman mengenainya kira-kira seminggu atau dua minggu lagi.

Rafizi berkata, banyak kenyataan berkaitan isu penyelewengan dalam NFC merujuk kepada kenyataan beliau maka sesi soal siasat lebih menjurus untuk melengkapkan jawapan sahaja.

"Saya rasa mereka sudah mempunyai jawapannya. Saya yakin mereka sudah ada dokumen itu," katanya lagi.

Beliau bagaimanapun berkata, isunya adalah bagaimana untuk meneliti setiap transaksi secara terperinci satu per satu.

"Sebab itu setiap pendedahan kami mengenai perkara ini mengambil masa lama.

"Namun hari ini kami mengambil keputusan untuk mendedahkannya kepada umum," katanya yang telah memuat naik lampiran format PDF bagi dokumen itu di blognya, http://rafiziramli.com.

Mengenai dokumen yang diterimanya secara sulit daripada seseorang yang tidak dikenali, Rafizi menjelaskan bahawa polis bagaimanapun tidak bertanyakan mengenai siapakah individu itu.

"Apa yang pasti butiran dokumen yang saya ada sepadan dengan apa yang mereka perolehi.

Rafizi berkata, dokumen asas yang berbentuk lager keluar masuk wang dalam akaun bank NFC itu diterima beliau menerusi emel pada 1 November lalu.

Ia menunjukkan senarai perbelanjaan terperinci dari akaun bank utama yang dimiliki NFC dan mengandungi 1,099 transaksi dari 5 Januari sehingga 31 Disember 2009.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan