Jamil Khir Tidak Tahu Mengenai Penglibatan Perkim Dalam Projek Jalan Raya

Diterbitkan: Khamis, 5 Januari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, beliau tidak tahu mengenai penglibatkan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) dalam projek pembinaan jalan raya dari Lapangan Terbang Subang ke Hospital Sungai Buloh bernilai RM270 juta yang sepatutnya siap pada 2008.

"Saya tak boleh kata apa-apa. Saya perlu menyiasat kes ini terlebih dahulu," katanya pada sidang media selepas merasmikan kempen kesedaran Halal di Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) di sini, Khamis.

Menurut beliau, perkara itu juga tidak berkaitan dengan isu agama dan diluar bidang kuasanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan rasuah terhadap Naib Presiden Perkim II, Prof Emeritus Datuk Ariffin Suhaimi, 74 dan dua rakannya, Datuk Baharin Baba, 58, dan Abas Adam, 60, melibatkan dana RM3.7 juta untuk projek tersebut.

Pada 27 Disember lalu, tiga lelaki yang merupakan pemegang amanah Perkim Cawangan Damansara Utama didakwa pecah amanah terhadap dana projek itu.

Ketiga-tiganya didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perkim Cawangan Damansara Utama, Petaling Jaya dekat sini antara 1 April 2002 dan 22 April 2004.

Projek menaik taraf jalan raya sepanjang 13.5km itu diberikan kepada Perkim Damansara Utama dengan kerjasama syarikat Rira Bina Sdn Bhd dalam dua fasa oleh Jabatan Kerja Raya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan