Pembangunan TTDI Hanya Satu Cadangan - Raja Nong Chik

Diterbitkan: Rabu, 4 Januari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Pembangunan di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) hanya satu cadangan dan tidak ada syarikat pemaju dilantik untuk membangunkan kawasan tersebut, kata Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Beliau berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hanya menerima permohonan untuk membangunkan semula pasar besar tersebut namun tiada keputusan muktamad dibuat setakat ini.

"Tak ada apa-apa setakat ini. Ia hanya pada peringkat cadangan. Setakat ini, tiada syarikat ditawarkan untuk membangunkan kawasan itu. DBKL hanya menerima cadangan-cadangan sahaja," katanya pada persidangan akhbar di sini Rabu.

DBKL menerima permohonan daripada syarikat WCT Sdn Bhd dan Perdana Padu Sdn Bhd untuk membangunkan semula pasar besar TTDI seluas 1.36 hektar.

Sebelum itu, Raja Nong Chik mempengerusikan mesyuarat antara DBKL, Persatuan Penjaja Pasar Besar TTDI dan Persatuan Penduduk TTDI. Hadir sama ialah Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail, Pengerusi Persatuan Penjaja Pasar Besar TTDI, Jenny Loo dan Pengerusi Persatuan Penduduk TTDI, Mohd Hatim Abdullah.

Sementara itu, Raja Nong Chik turut menyaran penduduk dan penjaja agar tidak risau berhubung khabar angin bahawa Pasar Besar TTDI akan dirobohkan untuk pembinaan kondominium.

Beliau memberi jaminan bahawa kementerian dan DBKL akan memastikan semua pihak yang berkepentingan akan diajak berbincang membangunkan kawasan itu.

Pada mesyuarat sejam itu, beliau berkata, Persatuan Penjaja TTDI dan Persatuan Penduduk TTDI mahukan Pasar Besar tersebut dikekalkan dan kerajaan membangunkan kawasan tersebut sebagai hub Aliran Transit Massa (MRT).

"Penjaja tidak menolak pembangunan tetapi mereka mahukan peluang perniagaan ditingkatkan manakala penduduk tempatan mahukan kerajaan menyediakan MRT yang akan memanfaatkan semua pihak.

"Kita akan cuba mencari keadaan menang-menang di mana semua konsep penggabungan dengan pembangunan yang dicadangkan pemaju, penjaja dan penduduk," katanya.

Sabtu lalu, hampir 100 peniaga Pasar Besar TTDI membuat bantahan berikutan kenyataan Ahmad Fuad dalam sebuah akhbar bulan lalu mengenai cadangan pembinaan apartmen perkhidmataan di tanah bernilai RM60 juta itu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan