Mohd Azmi Dilantik Ketua Pengarah IRTI

Diterbitkan: Rabu, 4 Januari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Profesor Datuk Dr Mohd Azmi Omar dilantik menjadi Ketua Pengarah untuk Institut Latihan dan Penyelidikan Islam (IRTI), yang merupakan unit di bawah Bank Pembangunan Islam (IDB), Jeddah untuk tempoh tiga tahun mulai 1 Feb depan.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata Mohd Azmi, Dekan Institut Perbankan dan Kewangan Islam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), adalah rakyat Malaysia pertama dilantik memegang jawatan itu daripada 16 calon antarabangsa yang berwibawa.

"Ia benar-benar satu keistimewaan untuk memegang jawatan ini kerana Profesor Datuk Dr Azmi akan bertanggungjawab ke atas aplikasi syariah dalam bidang ekonomi, kewangan dan perbankan, seterusnya mempromosikan kesedaran tentang peranan kewangan Islam dalam membina kestabilan kewangan dan dalam membasmi kemiskinan di pelbagai peringkat," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata Mohd Azmi berpengalaman luas dalam bidang pengajaran, penyelidikan serta perundingan bagi industri perbankan dan kewangan Islam, pasaran modal Islam, pelaburan dan Balanced Scorecard (BSC).

Katanya, Mohd Azmi turut menerbitkan beberapa kertas penyelidikan tentang perbankan Islam dan kewangan serta ekonomi kewangan, selain memegang beberapa portfolio seperti penasihat kepada beberapa bank komersial dan pelaburan, termasuk syarikat di Malaysia dan luar negara. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan