Mereka Sudah Ada Penganti

Diterbitkan: Rabu, 4 Januari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu temuramah dengan sebuah agensi berita bisnes antarabangsa mendedahkan bahawa Pakatan Rakyat (PR) sudah ada pengantinya jika beliau didapati bersalah dalam perbicaraan kes liwat kedua yang akan ditentukan Isnin depan.

PR katanya telah pun menentukan siapakah penganti beliau yang sesuai untuk mengepalai pakatan tersebut menjelang pilihan raya umum yang ke-13 yang disebut-sebut akan berlangsung tahun ini.

Penggal kerajaan yang ada sekarang hanya akan berakhir pada tahun 2013.

Anwar ketika bercakap kepada para pemberita dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada petang Selasa tidak menamakan siapakah yang bakal memimpin PR seandainya beliau disabitkan dengan kesalahan itu.

Sebaliknya Anwar hanya secara umum menyatakan kesemua pemimpin PR yang terdiri daripada PKR, PAS dan DAP secara kolektif yang akan memimpin gerakan tersebut.

Namun dalam temuramah dengan agensi berita bisnes Bloomberg, Anwar secara spesifik menegaskan bahawa pengantinya telah dikenalpasti cuma enggan mendedahkan siapa dia pada waktu ini.

Anwar berkata, ini adalah sebahagian daripada langkah pelan kontingensi seandainya keputusan mahkamah tidak memihak kepadanya Isnin depan.

Bekas timbalan perdana menteri itu berhadapan dengan kemungkinan dipenjarakan sehingga 20 tahun jika didapati bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya tiga tahun dahulu.

Sejak beberapa minggu ini, Anwar aktif mengadakan ceramah dan beberapa sesi perjumpaan dengan kelompok-kelompok tertentu dalam apa yang dilihat sebagai 'kempen' untuk mempertahankan reputasinya menjelang hari penentuan 9 Januari ini.

Ini termasuklah kempen "Demo 901" yang dianjurkan oleh PR untuk menunjukkan sokongan moral para penyokongnya di hadapan Mahkamah Tinggi di sini.

PR telah pun merancang untuk menghimpunkan sehingga 100,000 penyokong Anwar di hadapan mahkamah Isnin ini.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali memberi jaminan perhimpunan tersebut adalah satu perhimpunan aman.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan