Selepas Haris Ibrahim, Kini Malik Imtiaz Pula Menarik Diri

Diterbitkan: Selasa, 3 Januari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KLANG: Peguam hak asasi manusia, Malik Imtiaz Sarwar yang pada Julai lalu pernah mengumumkan bahawa beliau akan bertanding pada pilihan raya umum akan datang atas tiket Pergerakan Kebebasan Sivil Malaysia atau Malaysian Civil Liberties Movement (MCLM) kini menarik diri daripada dikaitkan dengan pergerakan itu lagi.

MCLM dipengerusikan oleh Raja Petra Kamarudin - yang pada Ahad lalu mencetuskan kontroversi dengan mengkritik Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam temuramah yang dijalankan bersama beberapa akhbar tempatan.

Raja Petra turut mengumumkan bahawa MCLM tidak akan meletakkan calon menjelang pilihan raya umum akan datang.

Pengumumannya itu ternyata bercanggah dengan gerakan yang dijalankan oleh MCLM sejak awal tahun lalu untuk mengrekrut dan meletakkan calon-calon yang dilihat sebagai berpeluang mencetuskan gelombang ketiga dalam senario politik negara.

Turut mengumumkan keputusan untuk menarik diri daripada MCLM ialah seorang lagi peguam iaitu Sreekant Pillai, yang juga anak lelaki wartawan terkenal mendiang M.G.G Pillai.

Semalam, seorang lagi peguam yang juga Presiden MCLM, Haris Ibrahim telah mengumumkan perletakkan jawatannya berkuatkuasa serta merta kerana kecewa dengan isu yang sama.

Peletakan jawatannya itu diumumkan dalam blog beliau.

Haris berkata, beliau kecewa dengan kenyataan Raja Petra yang mengumumkan bahawa MCLM membuat keputusan untuk tidak meletakkan sebarang calon menjelang pilihan raya umum akan datang sedangkan perkara itu masih belum dimuktamadkan.

Dalam pada itu, Malik berkata, walaupun beliau sebenarnya bukanlah ahli MCLM tetapi mengambil keputusan untuk menyokong pergerakan itu kerana percaya dengan matlamat dan misinya untuk mempertahankan hak asasi serta keadilan sivil.

Bagaimanapun, katanya, pelbagai kenyataan Raja Petra yang tersiar dalam temuramah tersebut telah melenyapkan kepercayaan dan harapan banyak pihak.

Tegasnya, walaupun kenyataan yang dibuat oleh Raja Petra itu lebih bersifat atas kapasiti peribadinya dan bukan mewakili MCLM, tetapi pada masa yang sama beliau (Raja Petra) telah menyentuh beberapa isu yang tidak dapat mengelak orang ramai daripada membuat andaian kenyataan tersebut mewakili MCLM.

Ini katanya lagi, adalah sesuatu yang amat dikesali kerana tanggapan yang diberi hasil daripada temuramah itu telah menjejaskan kredibiliti MCLM dan juga segala daya usahanya sebelum ini.

“Temuramah itu juga telah menjejaskan segala penat lelah dan usaha keras yang telah diberikan oleh pelbagai individu yang komited dan tidak mementingkan diri dalam membangunkan pelbagai inisiatif kebebasan sivil di bawah panji-panji MCLM,” kata Malik sebagaimana yang ditampalkan di dalam blognya, Selasa.

Menyatakan dengan jelas bahawa beliau tidak sedikit pun bersetuju atau berkongsi pandangan dengan semua kenyataan yang dibuat oleh Raja Petra dalam temuramah itu, Malik sebaliknya menegaskan apa yang katakan oleh bekas rakan karib Anwar itu sebagai merosakkan segala-galanya yang telah dilakukan oleh MCLM.

Malik juga menyatakan, pada setiap masa, keputusannya untuk menyertai pilihan raya umum atas tiket MCLM adalah bertolak di atas kepercayaan bahawa terdapat matlamat yang jelas mengenai apa yang diperjuangkan oleh pergerakan tersebut.

Beliau juga berpegang kepada kepercayaan bahawa tidak ada mana-mana manusia pun yang jauh lebih besar atau penting daripada sesuatu matlamat.

Dan berpegang kepada itulah beliau mengambil keputusan untuk menarik diri daripada dikaitkan lagi dengan MCLM dan juga menarik diri daripada menjadi calon pergerakan itu dalam pilihan raya umum akan datang.

Malik turut menyatakan bahawa dalam hubungan ini beliau telah berbincang dengan seorang lagi penggerak MCLM iaitu Sreekant Pillai, yang turut menzahirkan pandangan dan pendirian yang serupa.

Sementara itu, seorang lagi aktivis MCLM, Dr Nedunchelian Vengu yang sepertimana Malik pada Julai lalu mengumumkan kesediaan untuk bertanding atas tiket pergerakan itu membuat keputusan sebaliknya.

Katanya, kenyataan Raja Petra tidak sedikit pun menjejaskan semangatnya untuk terus bertanding atas tiket Bebas di kerusi Parlimen Kapar yang kini disandang oleh anggota PKR, S. Manikavasagam.

Doktor gigi berusia 43 tahun itu berkata tidak ada sebab untuknya menarik diri kerana sesiapa sahaja bebas untuk bertanding atas mana-mana tiket atau pertubuhan mahupun atas kapasiti seorang individu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan