DUN Apas Terima Lebih RM50 Juta Untuk Projek Pembangunan Sepanjang 2011 - Tawfiq

Diterbitkan: Selasa, 3 Januari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TAWAU: Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas menerima peruntukan melebihi RM50 juta sepanjang tahun lalu bagi membiayai pelbagai projek pembangunan infrastruktur, kata Pembantu Menteri Kewangan Sabah Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan.

Katanya lebih banyak peruntukan pembangunan akan disalurkan ke kawasan berkenaan pada tahun ini demi kepentingan dan kemudahan penduduk bagi memastikan tidak ada rakyat terpinggir daripada arus pembangunan.

"Pada tahun ini, saya memastikan dua buah jalan di kawasan DUN Apas iaitu Jalan Zulkifle dan Jalan Jaya di Kilometer 24 dinaik taraf," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Tadika Q-dees Tawau di sini, Selasa.

Sehubungan itu, Tawfiq yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Apas meminta rakyat di kawasan itu sentiasa memberi sokongan kepada kerajaan Barsisan Nasional (BN) demi mempercepatkan pembangunan di kawasan berkenaan.

Terdahulu dalam ucapannya, Tawfiq meminta ibu bapa memanfaatkan sepenuhnya kemudahan pendidikan yang disediakan sama ada oleh kerajaan atau pihak swasta bagi meningkatkan tahap pendidikan anak-anak mereka dan negeri Sabah amnya.

"Ibu bapa yang memilih menghantar anak-anak mereka belajar di taman didikan kanak-kanak (Tadika), baik tadika yang disediakan oleh kerajaan, agensi kerajaan atau swasta, merupakan ibu bapa yang inginkan anak-anak mereka berjaya pada masa akan datang," katanya.

Tawfiq yang juga Ketua Umno dan pengerusi BN Bahagian Tawau berkata dalam zaman dunia tanpa sempadan hari ini, ibu bapa tidak lagi boleh leka dalam menyediakan pendidikan terbaik untuk anak-anak mereka termasuk di peringkat prasekolah. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan